Tiga pemimpin UMNO tanding atas tiket parti lawan, bebas akan dipecat serta-merta – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK: Tiga pemimpin UMNO yang bertanding atas tiket parti lawan atau Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dipecat keahlian parti serta-merta, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata mengikut perlembagaan UMNO, parti mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli yang bertanding atas tiket selain parti termasuk yang menjadi pencadang dan penyokong calon yang mewakili pembangkang.
“Saya telah mengarahkan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan) supaya mengeluarkan kenyataan media hari ini untuk memperincikan mengenai fasa-fasa tertentu dalam perlembagaan UMNO bagi membolehkan pemecatan itu dilakukan.
“Itu (pemecatan) merupakan satu langkah biasa kerana kita mengikut tatacara dan etika yang terdapat dalam perlembagaan UMNO, begitu juga sekiranya pemimpin parti lain yang menganggotai BN (Barisan Nasional) maka perkara itu turut dilakukan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini hari ini.
Pada penamaan calon PRU kali ini, penyandang kerusi Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, yang kedua-duanya merupakan pemimpin UMNO bertindak mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket Perikatan Nasional.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin UMNO, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin turut bertanding mempertahankan kerusi berkenaan serta merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles