Menyelami Polemik Politik Malaysia Perlu Daya Akal, Pemikiran Bernas

Oleh: Penganalisis Politik Mohd Ustar Bin Haji Abdul Ghani

Advertisements

KOTA KINABALU: Memahami polemik politik Malaysia memerlukan daya akal serta toleransi pemikiran yang bernas tanpa dikongkong oleh emosi atau kebejatan akhlak yang melampaui tradisi dan falsafah kuno.

Politik Malaysia di alaf baru memerlukan pemikiran yang ampuh yang bisa menerobos lebuhraya pemikiran politik kontemporari. Falsafah politik yang berteraskan kepada kemajuan dan perubahan dan tidak terlalu tegar mendokong sahsiah politik tradisional yang telah mengakibatkan tercemarnya institusi politik negara.

Keputusan kerajaan untuk menurunkan had kelayakan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun harus dilihat sebagai langkah pendidikan politik awal yang menuntut kebertanggungjawaban dan kematangan pemikiran di pihak pengundi-pengundi remaja.

Buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara, lebih dari 8 juta pengundi remaja akan melaksanakan tanggungjawab memilih kerajaan di dalam pilihanraya ke 15 yang dijadualkan pada 19 November ini. Samada “status quo” politik negara dapat ditransformasikan melalui citarasa baru pengundi remaja kekal menjadi tanda tanya institusi politik negara.

Andaian-andaian politik seperti kurangnya peluang pekerjaan, keadaan ekonomi yang semakin merudum, harga barang keperluan yang naik mendadak dan senario politik negara yang bergelumang dengan perebutan kuasa dan kes-kes rasuah yang sudah hampir menjadi lanskap tetap politik negara mengundang keresahan dan kebimbangan di kalangan pengundi-pengundi remaja.

Dijangkakan remaja-remaja yang berumur di antara 14 hingga 16 tahun pada pilihanraya tahun 2018 akan buat pertama kalinya menjadi pemain politik negara. Jika dahulunya mereka mungkin terlibat di dalam kerja-kerja politik seperti pembawa bendera, pemasangan poster, kain rentang dan banting, menjelang 19 November mereka akan menggalas tanggungjawab yang lebih besar, menentukan hala tuju politik negara.

Di lihat dari sudut sosiologi, penglibatan sebagai pemain politik mengundang persepsi yang pelbagai. Ketahanan mental serta jati diri pengundi-pengundi remaja dituntut di peringkat awal agar tidak terjerumus dan rakus terhadap permainan politik wang yang kerap menjadi amalan menjelang sesuatu pilihanraya.

Tarbiyah semangat patriotik dan penyuntikan idealisme politik yang dapat menganjak paradigma politik tradisional harus dipupuk dan disemai di kalangan pengundi-pengundi remaja agar mereka lebih peka dan prihatin. Sebagai pewaris kepimpinan negara, mereka harus didedahkan kepada falsafah “diversity and inclusivity”, kepelbagaian dan penerimaan dan tidak semata-mata dikekang oleh ilham politik berteraskan agama, bangsa dan tradisi.

Sudah sampai masanya politik negara diheret semula ke landasan yang betul. Pengundi-pengundi remaja harus cakna tentang perkembangan yang sekian lama didominasikan oleh kebejatan akhlak politik songsang dan kebobrokan amalan politik gila kuasa dan penyelewengan.

Satu undi di tangan anda hari ini akan menentukan nasib anak cucu kita di masa yang akan datang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles