Jangan pentingkan diri sendiri dalam perjuangan hak rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti StarSabah (StarSabah), Datuk Robert Tawik menyeru rakyat Sabah khususnya ahli-ahli parti itu agar tidak terpengaruh dengan sentimen peribadi Jovilis Majami yang menuduh kepimpinan parti itu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) sebagai pengkhianatan kepada penyokong.

Advertisements

Katanya, Kerajaan Sabah sekarang adalah Kerajaan GRS-BN yang terbentuk daripada kerjasama diantara Perikatan Nasional, PBS dan BN semasa Pilihan Raya Negeri yang lalu.

Beliau berkata, melalui kerajaan GRS-BN, banyak pencapaian yang positif, termasuklah pengembalian secara berperingkat hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor juga komited dalam menyatu-padukan rakyat Sabah demi memperjuangkan hak-hak Sabah. Perjuangan menuntut hak Sabah bukan bergantung dengan parti politik. Ianya bergantung dengan suara Wakil-Wakil Rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pun Dewan Rakyat”, katanya.

Beliau berkata ketika mengulas kenyataan peribadi Ahli Majlis Tertinggi (AMT) StarSabah, Jovilis Majami dalam hantarannya di FB yang mendakwa bergabung dengan BN sebagai membelakangkan prinsip perjuangan parti itu.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri berkata, GRS ditubuhkan bagi menyatukan parti-parti tempatan negeri ini untuk bersama-sama perjuangkan hak-hak dan kepentingan negeri Sabah.

Menurutnya, GRS ditubuhkan bukan sekadar “suka-suka”, sebaliknya ia merupakan satu gabungan dan wadah utama penyataan suara rakyat negeri ini yang sayangkan Sabah.

Katanya, perlu diingat tidak ada satu parti politik pun yang akan berjaya memerintah di peringkat negeri mahupun persekutuan dalam keadaan dan senario politik sekarang sekiranya Pilihan Raya Umum diadakan.

Justeru katanya, tidak wajar Jovilis mengeluarkan kenyataan sombong dengan menyeru kepimpinan parti StarSabah meneliti keberadaan parti dalam GRS”.

‘Saya ingin menegaskan, Presiden parti, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan tidak pernah terpesong daripada perjuangan menuntut hak-hak Sabah. StarSabah juga tidak akan meninggalkan GRS seperti yang diminta oleh Jovilis’, tambahnya.

“GRS sedia bekerjasama dengan semua parti politik tempatan, namun dalam PRU ke15, soal ianya akan bekerjasama dengan BN akan bergantung kepada keputusan kepimpinan parti setelah membuat kajian dan penelitian mendalam daripada pelbagai sudut. Sebaliknya ia bukan ditentukan oleh Jovilisi secara individu’, kata Robert.

Beliau mengingatkan ahli-ahli dan pemimpin StarSabah agar terus merapatkan saf, selain mendekati rakyat akar umbi bagi memberi penerangan perjuangan parti dan GRS.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles