USIA ambil pendekatan baharu dalam pelaksanaan program: Sapawi

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata USIA akan mengambil pendekatan baharu, iaitu mengutamakan yang lebih utama dalam pelaksanaan programnya, termasuk bidang dakwah.

Advertisements

Katanya, kaedah baharu itu menuntut supaya pengendalian aktiviti atau program yang lebih utama dan amat diperlukan, akan dilaksanakan terlebih dahulu.

Beliau berkata ini selaras dengan semangat yang ditiup dan disuburkan oleh ulama Islam yang terkenal, Prof Dr Yusof Abdullah Al Qaradhawi, iaitu Fiqh Al Awlawiyyat.

Sapawi berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bicara Hijrah anjuran Ibu Pejabat USIA di sini kelmarin.

Pegawai Dakwah USIA, Datuk Abdul Manap Lakariba menyampaikan ceramah yang dihadiri 60 orang pemimpin dan kakitangan USIA.

Program itu diadakan sebagai sambutan Maal Hijrah 1444.

Sapawi selanjutnya berkata, adalah diharapkan pendekatan baharu itu dapat membantu mengembalikan kegemilangan USIA sesuai dengan misi dan visinya.

Pertubuhan yang telah diasaskan penubuhannya oleh tokoh Sabah yang terkenal, Almarhum Tun Datu Haji Mustapha, 53 tahun lalu, amat wajar untuk diberikan suntikan baharu demi membugar dan menggilap imejnya.

Yang Dipertua USIA itu juga mengumumkan bahawa USIA akan menganjurkan Bengkel Pelan Strategik USIA 2022- 2024 di Kota Kinabalu pada 19-21 Ogos 2022.

Bengkel yang julung kalinya diadakan itu bertujuan untuk merumus pelan penting USIA yang bakal dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pelan yang bakal dirangka itu meliputi bidang dakwah, pengurusan aset, pengurusan kewangan dan usaha untuk meningkat serta memperbaiki saluran penerangan termasuk IT.

Bengkel itu akan dikendalikan oleh mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Amin Senin.

Upacara perasmian penutupan dan penyampaian sijil kepada para peserta akan disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles