KOTA KINABALU: Bekas anggota Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berazam untuk menggembalikan era kegemilangan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) terutama dalam bidang dakwah dan pendidikan.
Berbekalkan azam itu, beliau menawar diri untuk bertanding jawatan Yang-Di-Pertua Usia Sabah pada sesi pemilihan Ahli Majlis Tertinggi USIA (2022-2024) yang akan diadakan di Dewan Utama Kompleks USIA 1Borneo pada 25 Jun ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan yang tertinggi dalam USIA itu.
“Kita sedia maklum USIA merupakan NGO Islam yang terawal di Sabah dan mempunyai track record yang cemerlang dalam bidang dakwah semasa awal penubuhannya.
“Maka untuk mencapai matlamat ini, saya berazam untuk mengembalikan kegemilangan USIA,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sambil menggariskan visi dan misi, Sapawi yang juga Ketua bahagian USIA Sipitang menzahirkan tekad untuk menggilap imej USIA, mempelbagaikan aktiviti dakwah dan mengukuhkan pengurusan organisasi, aset dan kewangan.
Beliau berharap para perwakilan dari 27 bahagian bijak memilih saf kepimpinan baharu yang sehaluan dengan aspirasi kerajaan negeri dan juga persekutuan bagi mempermudahkan usaha ke arah menjayakan visi dan misi serta gerak kerja USIA.
“Saya cukup yakin ianya dapat dilaksanakan dengan sokongan kawan-kawan yang ingin melihat kejayaan USIA bersama pasukan pengurusan dan barisan kepimpinan yang baharu.
“Ianya berdasarkan pengalaman yang saya miliki yang pernah menjadi, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam
Malaysia, Pengarah Yayasan Sabah dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang menyelia hal ehwal agama Islam di Sabah,” katanya.
Sapawi turut menzahirkan iltizam untuk mempelbagaikan program dakwah dan memperkasakan media sosial.
“Saya juga berazam untuk menerima cadangan-cadangan yang bernas daripada AJK USIA bahagian dalam menentukan hal tuju pengurusan aset USIA di bahagian masing-masing,” katanya.
Lebih 300 perwakilan dijangka menghadiri mesyuarat pemilihan itu.