BN Sabah perlu bangkit perkasakan jentera PRU-15 – Salleh

KOTA KINABALU: Kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri perlu memantapkan dan memperkasakan jentera untuk mengharungi cabaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Advertisements

Ketika membuat gesaan itu, Pengarah Pilihanraya BN Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sudah tiba masanya BN bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal selain mengetepikan perbezaan pendapat bagi menghadapi PRU-15.

“Jentera Barisan Nasional ibarat pahlawan di barisan hadapan sedia untuk ‘berperang’, ” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.

Menurutnya gerak kerja jentera perlu terus melangkah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak menolak “bila-bila masa saja PRU akan diadakan”.

“Tidak perlu antara kita bercakaran dan bertikam lidah tentang bila waktu terbaik pilihan raya diadakan.

“Fokus utama kita persediaan rapi untuk memastikan maklumat mengenai kebaikan dan jasa BN kepada pembangunan negara sampai ke telinga rakyat,” katanya.

Salleh yang juga ADUN Usukan berkata pemimpin tertinggi BN sudah pun memberi lampu hijau agar BN Sabah bersedia untuk bertempur dalam PRU15 untuk tawan sepenuhnya Putrajaya.

“Ternyata selepas berdekad memerintah dasar BN lebih mengutamakan kebajikan rakyat berbanding Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu menegaskan bahawa rekod pentadbiran PH selama 22 bulan telah dikecam pelbagai pihak selain perancangan PN yang kurang berkesan.

“Maka, wajar untuk BN mendapatkan kemenangan majoriti agar kestabilan dan dasar ekonomi yang kukuh,” katanya.

Salleh yakin rakyat dapat menilai pentadbiran PH yang memberi kesan kepada ekonomi negara selain tidak mempunyai dasar polisi yang kukuh.

“Setiap pilihan raya pastinya ada pelbagai risiko, namun keyakinan kita dengan jentera yang kuat dan bersiap sedia, ia bakal menyumbang sekurang-kurangnya 50 peratus kemenangan.

“Maka, penting untuk pemberian tugas yang sistematik, kempen berkesan, peraih undi yang bekerja keras selain setiap akar umbi memanfaatkan penggunaan media sosial,” katanya.

Salleh juga mahuJentera BN bekerja secara berpasukan, berdisiplin dan meneruskan kesetiaan kepada parti.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles