Pihak industri ayam nyatakan jaminan terus bekal ayam untuk pasaran tempatan – MAFI

PUTRAJAYA: Pihak industri ayam di negara ini telah menyatakan komitmen dan jaminan bahawa ladang-ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan.

Advertisements

Mereka menyatakan komitmen ini pada sesi libat urus pemain utama industri ayam di negara ini dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang dihadiri menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Putrajaya, semalam.

MAFI dalam satu kenyataan hari ini menyatakan akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan pihak industri yang memainkan peranan penting dan terlibat langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran kekal terjamin.

Menurut kenyataan itu, kerajaan juga tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyorok, menyimpan atau sabotaj terhadap bekalan ayam di pasaran yang dapat menjejaskan kehidupan rakyat.

MAFI sentiasa memandang serius sebarang perkara yang mengancam sekuriti makanan negara dan akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Pada sesi libat urus itu, 12 pemain industri dan persatuan penternak hadir antaranya dari syarikat Leong Hup Poultry Farm Sdn. Bhd., HLRB Broiler Farm Sdn. Bhd., PWF Corporation Bhd, Federation of Livestock Farmers’ Association of Malaysia (FLFAM) dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS).

MAFI mengambil maklum semua isu-isu yang telah dibangkitkan termasuk peningkatan kos pengeluaran ayam, masalah kenaikan berat badan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca, proses Kebenaran Merancang (KM) dan sebagainya yang antara lain telah menjejaskan operasi dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan ayam.

Isu-isu berkaitan dengan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Veterinar Malaysia (DVS) kepada penternak juga telah dibincangkan. DVS akan terus mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam bagi merancakkan aktiviti pengeluar makanan ke arah meningkatkan pengeluaran domestik.

Sebelum ini, MAFI telah mempermudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.

Tindakan juga sedang diambil dengan mobilasi lebih banyak pegawai ke peringkat negeri bagi segerakan semakan permohonan.

Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90/kg dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

Subsidi ini telah diberikan oleh Kerajaan untuk meringankan beban kos pengeluar ayam yang kian meningkat dan sehingga kini hanya RM50 juta subsidi telah dibayar.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles