KOTA BELUD: Kota Belud yang terkenal sebagai ‘daerah koboi timur’ (the Cowboy of the East) berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi eko pelancongan luar bandar bertaraf dunia.
Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata keyakinan itu berdasar kedudukan strategik daerah itu yang terletak di kali Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.
“Saya melihat daerah Kota Belud berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia berasaskan eko pelancongan.
“Daerah Kota Belud tidak asing lagi di mata penduduk di Malaysia. Banyak tempat menarik yang popular selain produk-produk tempatan yang unik di daerah ini. Ini termasuk lokasi ekopelancongan, pantai, tempat berkelah dan rekreasi yang indah dan cantik,” katanya.
Salleh berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota Belud bertemakan “Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi” di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak, hari ini.
Sesuai dengan tema Kaamatan tahun ini, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menyeru rakyat terutama para pengusaha pelancongan supaya bersatu tenaga mempromosi pakej pelancongan secara agresif termasuk di media sosial, sekaligus membantu memulihkan semula ekonomi rakyat berasaskan pelancongan.
Dalam hal ini, beliau berkata pesta kaamatan berupaya membantu mempromosikan pelancongan di negeri ini melalui pelbagai program yang melibatkan kebudayaan serta tempat-tempat yang menarik.
Menurut Salleh, pesta kaamatan yang dirayakan setiap tahun mampu memperkukuhkan lagi semangat kekitaan dan persaudaraan sesama insan sesuai dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang menekan perpaduan pelbagai kaum di negara ini, sekali gus memastikan rakyat sentiasa hidup aman damai dan harmoni.
“Kita juga bersyukur kerana sambutan Pesta Kaamatan kali ini dapat diadakan semula secara fizikal selepas dua tahunm diadakan secara hybrid susulan penularan virus Covid-19 di negeri in.
“Meskipun jumlah jangkitan dan kematian global akibat Covid-19 dilaporkan terus menurun, namun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini memberi amaran pandemik masih belum berakhir. Ini bermakna virus Covid -19 masih ada di sekeliling kita.Â
“Justeru itu, saya menyeru rakyat khususnya penduduk Kota Belud supaya tidak melihat kelonggaran SOP sebagai lesen besar untuk terlalu bebas sehingga mengabaikan semua SOP diamalkan selama ini,” katanya.