Oleh Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, Penganalisis Politik
KOTA KINABALU: Dinamik politik Sabah ini menyaksikan semalam dua mantan ADUN DAP iaitu Sri Tanjong dan Elopura menyertai parti Warisan.
Justin Wong dan Calvin Chong yang keluar dari DAP awal tahun ini (bersama mantan senator Adrian Lasimbang) atas alasan (hilang kepercayaan terhadap kepimpinan) perbalahan dalaman dan kehilangan halatuju DAP Sabah telah memilih menyertai Warisan meskipun sebelum ini ada ura-ura mengatakan mereka berdua akan menyertai parti KDM.
Susulan ini telah mengembalikan kekuatan parti Warisan kepada 19 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) (setelah Peter Anthony, ADUN Melalap dan Juil Nuatim, ADUN Limbahau meninggalkan parti Warisan sebelum ini) dan tujuh ahli parlimen.
Hal ini juga bermakna parti Warisan yang memenangi 23 kerusi (3 ADUN yang telah meninggalkan Warisan sebelum itu – Hassan Abdul Gani Pg Amir, Sebatik, Datuk Yusof Yacob, Sidumin dan Mohamaddin Ketapi, Segama) pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 terus kekal sebagai pesaingan terkuat kepada GRS-BN.
Pada dasarnya di peringkat negeri BN Sabah ketika ini diwakili oleh UMNO Sabah sahaja kerana tiada parti-parti komponen yang lain yang memenangi sebarang kerusi pada PRN Sabah yang diadakan pada 26 September 2020.
Tiada siapa-siapapun yang memerlukan sains roket untuk mengetahui natijah jikalau bergaduh. Hanya keegoan dan emosi yang menjadi penghalang untuk meneruskan kerjasama yang menjurus kepada kestabilan politik yang merupakan kunci pembangunan Sabah.
Bilalah ada masa untuk memikirkan soal kepentingan rakyat jikalau asyik-asyik bercerita pasal politik?
Tindakan Warisan menerima mantan wakil rakyat DAP kemungkinan akan menimbulkan perasaan tidak selesa dalam kalangan pemimpin DAP yang adanya telahpun mengeluarkan ‘peingatan lembut’ kepada Warisan agar mengekalkan hubungan mesra di antara Warisan-PH (Pakatan Harapan) apabila mengambil mantan pemimpin dan penyokong mereka dalam usaha mengembangkan sayap ke Semenanjung.
Belum ada reaksi daripada DAP Sabah yang bertanding atas logo Warisan pada PRN Sabah 2020 terhadap tindakan Warisan menerima mantan dua ADUN mereka.
Naratif terbuka kepada kerjasama dengan mana-mana parti yang memenangi PRU15 juga menarik kerana bagaimana dengan tuntasnya adalah proses menuju ke arahnya.
Di sebelah GRS-UMNO pula perlu melihat perkembangan semasa ini dengan pemikiran yang logik dan rasional kerana mereka boleh tersungkur sekiranya terjadi ketegangan UMNO-PPBM seperti di Semenanjung.
Kedua-dua belah pihak sudah pastinya amat berhati-hati dengan sebarang perekrutan baharu untuk mengelakkan kuda troya (trojan horse) dalam permainan nombor (number game) politik ini.
Kepimpinan tertinggi GRS (Gabungan Rakyat Sabah) telah berusaha mengelak berlaku sebarang perselisihan dan sentiasa menjaga keharmonian sesama ahli sedia ada.
Beberapa episod kegentingan politik di Semenanjung menyaksikan para pemimpin GRS Sabah tenang sahaja mengharunginya.
Gambar beberapa kepimpinan tertinggi UMNO Sabah bersarapan pagi dengan Tan Sri Musa Aman yang tular menarik pelbagai spekulasi berkenaan kerjasama GRS-UMNO dalam menghadapi PRU15.
Tidak dinafikan ada segelintir dalam UMNO Sabah yang tidak ingin melihat kerjasama GRS tersebut diteruskan untuk PRU15 disebabkan pengagihan kerusi kelak.
Ironinya kumpulan sama yang tidak ingin meneruskan kerjasama dengan Bersatu tersebut ingin meneruskan kerjasama dengan PAS Sabah secara tidak langsung mendedahkan sikap hipokrit mereka. Bukankah harus konsisten tidak bekerjasama sepertimana dalam PRN Melaka dan Johor?
Menarik ada pihak yang nampak pr-aktif cuba menyelesaikan polemik kerjasama GRS-BN tanpa menunggu bilakah tarikh PRU15.
Barangkali kedua-dua belah pihak boleh bereksperimen beradu kekuatan (di gelangan) dengan mengadakan pilihan raya kecil Bugaya (setelah pemergian ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020).