Tolak tuntutan Filipina, batal NCA – Ewon kemuka dua usul khas

PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengemukakan dua usul khas bagi sidang DUN Sabah yang akan diadakan pada 16-24 Mac ini.

Advertisements

Usul pertama yang dikemukakan beliau ialah supaya sidang DUN Sabah membuat ketetapan untuk menolak secara kekal sebarang tuntutan daripada Filipina atau pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu ke atas Sabah.

Beliau juga mengusulkan agar sidang DUN membuat ketetapan untuk tidak membayar apa-apa wang ke atas tuntutan atau keputusan arbitrari berkaitan tuntutan yang dibuat sebelum ini.

“Ketetapan perlu dibuat oleh sidang DUN bagi mempertahankan kedaulatan dan kebebasan Sabah. Isu ini merupakan isu utama rakyat Sabah dan perlu dibincang, dibahas dan dimuktamad di DUN, seterusnya menghapuskan secara kekal apa-apa persoalan berkaitan tuntutan lapuk yang mengelirukan rakyat Sabah selama ini,” katanya.

Isu tuntutan Filipina ke atas Sabah merupakan satu isu yang sentiasa menjadi bahan bualan rakyat negeri ini.

Baru-baru ini rakyat Sabah digemparkan dengan satu keputusan arbitrari di Sepanyol yang mengarahkan Kerajaan Malaysia membayar RM63 bilion kepada pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mengemukakan usul keduanya berkaitan Nature Conservation Agreement (NCA).

Beliau mengusulkan agar DUN Sabah membatalkan perjanjian NCA yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan syarikat Hoch Standard kerana kandungan perjanjian berat sebelah yang tidak akan menguntungkan Kerajaan Negeri Sabah dan rakyat Sabah berdasarkan kepada protokol antarabangsa berkaitan perdagangan carbon credit.

“Ketetapan ini perlu dibuat oleh DUN bagi mempertahankan masa depan rakyat Sabah daripada sebarang kemungkinan liabiliti kewangan, aset semula jadi, tadbir urus songsang dan meniadakan konflik di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan masyarakat Orang Asal berhubung tuntutan tanah adat,” katanya.

Menurut Ewon, isu perjanjian NCA tersebut juga kini menjadi tumpuan masyarakat saintifik dunia yang terlibat dengan konservasi iklim dan alam sekitar kerana pelbagai kecelaruan yang timbul dan perlu dimuktamadkan di sidang DUN.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles