KOTA KINABALU: Majlis Solidariti Bersama Rakyat Sabah yang akan berlangsung pada 18 Disember dijangka menjadi medan penting bagi parti STAR Sabah mengumumkan hala tuju politik baharu serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Presiden STAR Sabah Datuk Lawrence Gimbang berkata susulan perkembangan politik semasa yang menyaksikan majoriti rakyat mahu melihat parti-parti tempatan bersatu, maka tumpuan di majlis itu dijangka terarah kepada suara akar umbi, khususnya mengenai pendirian pimpinan STAR Sabah berhubung masa depan perjuangan parti.
Beliau berkata presiden STAR Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dijangka merasmikan
Majlis Solidariti Bersama Rakyat Sabah
yang bakal diadakan di Dewan KDCA, Penampang.
“Ketika ini ramai yang tertanya-tanya tentang hal tuju sebenar STAR Sabah selepas PRN yang lepas.
“Maka segala persoalan ini akan terjawab pada majlis tersebut di mana presiden parti akan menyampaikan ucapan penting dan memperjelaskan hala tuju perjuangan STAR Sabah,” katanya.
Lawrence berkata demikian ketika diminta mengulas hasil perbincangan Mesyuarat Jelajah STAR Sabah dan Majlis Solidariti Bersama Rakyat Sabah di Sokid Villa, dekat sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung STAR Sabah yang juga merupakan Ahli Dewan Negara Datuk Edward Linggu dan pemimpin kanan parti Datuk Kalakau Untol.
Lawrence berkata majlis solidariti itu, antara lain, bertujuan meningkatkan kesedaran hak Sabah, Perjanjian Malaysia 1963 dan kepentingan pembangunan yang seimbang.
Ia juga bermatlamat untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti tempatan yang berkongsi kepentingan dalam memperjuangkan masa depan Sabah.
Sebelum ini, terdapat ura-ura yang mengaitkan kerjasama antara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi menghadapi PRU yang akan datang.
Isu itu semakin hangat diperkatakan selepas ketiga-tiga presiden parti tempatan Sabah itu— Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (STAR), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) dan Priscella Peter (KDM)—hadir sama di Tugu Batu Sumpah, Keningau sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lepas.
Difahamkan, beberapa pemimpin parti tempatan yang senada dengan perjuangan STAR Sabah akan dijemput menghadiri majlis solidariti itu.
