Madius ulangi gesaan cadangan wujudkan Akta Pelarian Malaysia

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau sekali lagi menggesa kerajaan untuk menggubal Akta Pelarian Malaysia bagi memastikan pengurusan pelarian di negara ini lebih teratur dan tidak hanya bergantung kepada arahan pentadbiran semata-mata.

Menurut beliau, ketiadaan undang-undang yang jelas menyebabkan pengurusan pelarian berisiko terdedah kepada ketidakselarasan, salah urus, dan salah guna kuasa ekoran budi bicara pentadbiran yang terlalu luas.

“Apa yang berlaku tiga kes pelarian di negara kita diuruskan secara berbeza-beza. Pelarian perang Vietnam, pelarian Filipina dan pelarian Rohingya pengurusannya adalah tidak selaras.

“Di manakah Kedaulatan Undang-undang kalau isu sebesar pengurusan pelarian terlalu lama bergantung kepada arahan pentadbiran dan amalan semasa,” katanya.

Beliau yang merupakan Presiden Kehormat UPKO berkata demikian ketika membahaskan Penyata Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mengenai pengurusan pelarian di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Madius berkata, kewujudan akta baharu itu amat penting kerana ia akan menetapkan definisi, memperincikan bidang kuasa, mengehadkan budi bicara, serta mewujudkan akauntabiliti terus kepada Parlimen.

“Malaysia memilih untuk tidak menjadi pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967. Itu pilihan dasar negara.

“Tetapi kalau Malaysia mahu mengurus pelarian dengan cara Malaysia sendiri, mengapa kita masih belum mempunyai Akta Pelarian Malaysia,” soal Ahli Dewan Undangan Negeri N.14 Tamparuli itu lagi.

Menyentuh mengenai pengeluaran Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) oleh kerajaan, beliau mencadangkan agar pelaksanaannya dibina berlandaskan empat tonggak utama iaitu status, garis masa, dasar jalan keluar, dan akauntabiliti.

“Kita tidak mahu pengeluaran DPP  menjadi IMM13 versi baharu.

“Soalan paling penting ialah apa yang berlaku selepas seseorang memperoleh DPP, sama ada lima tahun, sepuluh tahun atau tanpa penghujung,” Tegas Madius lagi.

Untuk rekod, gesaan menubuhkan Akta Pelarian Malaysia turut dibangkitkan Madius pada persidangan Dewan Rakyat Julai lalu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles