Dahulukan kepentingan penduduk kampung dalam isu permohonan tanah Safoda – Richard Mazagi

PITAS: Kerajaan Negeri Sabah diseru agar sentiasa meletakkan kesejahteraan serta kepentingan penduduk tempatan di barisan hadapan sebelum mempertimbangkan sebarang permohonan tanah berskala besar oleh pihak syarikat korporat di daerah Pitas.

Presiden Persatuan Rungus Pitas Sabah (PISAAN), Richard Mazagi, menegaskan bahawa walaupun pihaknya mengambil maklum terhadap usaha pembangunan ekonomi negeri melalui industri perhutanan, hak serta permohonan tanah daripada penduduk kampung yang terjejas atau berada di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) mesti diberi keutamaan yang adil.

Beliau mengulas laporan berhubung permohonan yang dikemukakan oleh Akasia Forest Industry Sdn Bhd (AFI SB) seluas 5,000 hektar bagi tujuan penambahan kawasan penanaman spesies eucalyptus di daerah Pitas. 

Menurut beliau, meskipun peluasan operasi perhutanan ini dilihat berpotensi menyumbang kepada hasil serta perolehan ekonomi negeri, kebajikan rakyat di akar umbi tidak boleh dikompromi begitu sahaja.

“Langkah ini memang baik bagi hasil negeri, namun pertimbangkan juga permohonan tanah oleh penduduk kampung yang termasuk dalam kawasan SAFODA. Dahulukan kepentingan rakyat sebelum mempertimbangkan kepentingan syarikat,” kata Richard dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, lawatan rasmi kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih bersama Pengurus Besar SAFODA, Datuk Bahrul Razha Chuprat, ke daerah Pitas telah membincangkan perancangan strategik untuk memperluaskan lagi kawasan penanaman hutan industri, khususnya membabitkan spesies Eucalyptus pellita bagi menampung keperluan industri hiliran seperti kilang veneer dan pelet kayu di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kebanyakan komuniti setempat di Pitas turut bergantung kepada tanah berkenaan untuk kelangsungan hidup serta kegiatan harian mereka. 

Sebarang keputusan meluluskan tanah kepada pihak syarikat tanpa mengambil kira suara dan permohonan penduduk kampung dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada penduduk asal di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Richard menggesa kerajaan negeri agar meneliti secara mendalam dan seimbang setiap permohonan, di samping memastikan hak pemilikan tanah penduduk kampung terus terpelihara demi keharmonian dan masa depan kestabilan sosial di Pitas.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles