PBS Tambunan buat laporan polis berhubung ucapan yang didakwa sentuh sensitiviti agama kristian

TAMBUNAN:  Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tambunan, Dr. Rockey Jerome Budin, telah membuat laporan polis berhubung satu rakaman video yang didakwa mengandungi ucapan menghina serta menyentuh sensitiviti agama Kristian, khususnya penganut Katolik.

Dr. Rockey berkata, beliau melihat rakaman berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook pada 16 September 2026. Video tersebut dipercayai memaparkan Datuk Noorazli Said, Ketua UMNO Bahagian Sepang, ketika menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Menurut beliau, ucapan dalam rakaman tersebut didakwa menyentuh ajaran dan institusi agama Kristian dengan menjadikan firman Tuhan, paderi serta sister sebagai bahan jenaka dan kiasan yang didakwa berunsur seksual.

Beliau menyifatkan ucapan sedemikian sebagai tidak wajar dan keterlaluan kerana bukan sahaja boleh menyinggung perasaan masyarakat Kristian, malah berpotensi mencetuskan kemarahan, keresahan serta ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Sebagai seorang Kristian dan pemimpin masyarakat di Tambunan, saya menerima maklum balas daripada anggota masyarakat yang berasa marah, tersinggung dan terhina selepas menonton rakaman tersebut.

“Kesucian agama, firman Tuhan dan individu yang mengabdikan diri dalam institusi keagamaan tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau kiasan berunsur seksual, lebih-lebih lagi di pentas politik,” katanya.

Dr. Rockey menegaskan bahawa beliau menghormati kebebasan bersuara serta perbezaan pandangan politik. Bagaimanapun, kebebasan tersebut hendaklah diamalkan secara bertanggungjawab dan tidak digunakan untuk memperlekehkan ajaran, kitab suci, pemimpin atau institusi mana-mana agama.

Menurut beliau, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil serta menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.

“Tindakan membuat laporan polis ini bukan bertujuan mencetuskan permusuhan atau memperbesar perbezaan politik. Sebaliknya, perkara ini perlu ditangani melalui saluran undang-undang demi mempertahankan keharmonian dan sikap saling menghormati antara penganut agama.

“Saya menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk disiasat. Semua pihak juga diharap dapat memberikan kerjasama dan mengelakkan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pemimpin politik supaya lebih berhati-hati, berhemah dan bertanggungjawab ketika menyampaikan ucapan, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan budaya.

Katanya, keharmonian negara mesti terus dipelihara dan tidak boleh dikorbankan semata-mata untuk mendapatkan perhatian, sorakan atau keuntungan politik.

Dr. Rockey turut menegaskan bahawa agama tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau diperalatkan dalam persaingan politik kerana tindakan sedemikian boleh merosakkan hubungan baik yang telah lama terjalin dalam kalangan rakyat Malaysia.

Turut hadir mengiringi beliau ketika laporan polis dibuat ialah Setiausaha Bahagian PBS Tambunan, Oliver Win Paunil.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles