Kenyataan YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS)
KOTA KINANALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden PGRS, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang terus memperjuangkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Pendirian yang dibawa oleh Ketua Menteri dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak-hak Sabah tidak sekadar dibincangkan, tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian yang nyata serta memberikan manfaat kepada rakyat.
Tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan juga soal ihsan daripada mana-mana pihak. Ia merupakan hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil serta dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia.
PGRS mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini. Ini merupakan satu perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Namun demikian, bayaran interim ini tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan sebagaimana yang terus ditegaskan oleh Ketua Menteri.
Kita juga menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat. Suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada tahun 1963.
Begitu juga dengan usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta perkara-perkara lain yang masih belum diselesaikan di bawah MA63. Semua ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan kemampuan negeri untuk menentukan serta mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan.
PGRS percaya pendekatan yang dibawa oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selama ini adalah jelas: tegas mempertahankan hak Sabah, tetapi pada masa yang sama memilih jalan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan untuk menghasilkan penyelesaian yang konkrit.
Pendekatan ini telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga perkara-perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya.
Bagi PGRS, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten.
Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai. Pada masa yang sama, PGRS berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan.
Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya. Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab.
