KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebagai langkah memperkukuh representasi rakyat di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, penambahan kerusi itu amat penting bagi memastikan suara rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan terpencil, dapat dibawa dengan lebih berkesan ke peringkat Parlimen.
“Kita mengalu-alukan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri berkenaan penambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak.
“Harapan saya supaya perkara ini dapat direalisasikan dalam masa yang secepat mungkin, walaupun kita faham ia masih memerlukan beberapa prosedur termasuk pindaan Perlembagaan dan kelulusan Parlimen,” katanya.
Menurut Azizah, keperluan menambah kerusi bukan semata-mata berkaitan jumlah wakil rakyat, sebaliknya penting bagi memastikan isu dan keperluan setempat mendapat perhatian yang lebih khusus.
Katanya, perkara itu turut berkait rapat dengan usaha menangani kemiskinan di Sabah yang memerlukan pendekatan lebih bersasar mengikut keadaan setiap kawasan.
“Kalau kita tidak tahu sesuatu tempat dan masalah yang mereka hadapi, bagaimana kita mahu merancang program yang benar-benar sesuai untuk membantu mereka.
“Tidak boleh kita menggunakan pendekatan yang sama untuk semua kawasan kerana setiap daerah dan komuniti mempunyai keperluan yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, wakil rakyat yang benar-benar memahami keadaan di kawasan masing-masing mampu membawa isu rakyat dengan lebih berkesan kerana mereka sendiri berdepan dengan realiti kehidupan masyarakat setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizah berkata Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) kini memberi penekanan terhadap kajian mengenai kemiskinan dengan usaha mengenal pasti lokasi serta kelompok masyarakat yang terjejas.
Katanya, kajian itu bukan sekadar melihat kemiskinan mengikut daerah, sebaliknya turut membuat pemetaan sehingga ke peringkat kampung bagi mengenal pasti kawasan yang benar-benar memerlukan perhatian.
“Tidak semua kawasan dalam sesebuah daerah itu miskin. Ada tempat-tempat tertentu yang mempunyai kadar kemiskinan lebih tinggi.
“Sebab itu kita sedang membuat pemetaan supaya kita dapat mengenal pasti dengan lebih tepat kampung dan kawasan yang memerlukan intervensi,” katanya.
Menurut beliau, pegawai dan penyelidik IDS telah turun ke beberapa daerah termasuk Pitas, Kota Marudu dan Semporna bagi mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak berkuasa daerah.
Beliau sendiri, katanya, telah mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Semporna bagi mendapatkan gambaran mengenai lokasi serta isu kemiskinan di daerah berkenaan.
Azizah berkata, hasil kajian tersebut akan dikemukakan kepada pihak berkaitan, khususnya Kerajaan Negeri Sabah, selain mendapatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan langkah menangani kemiskinan dapat dilaksanakan secara lebih tepat dan berkesan.
“Kita mahu menunjukkan dengan jelas kawasan-kawasan yang perlu diberikan perhatian supaya perancangan dan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Azizah turut menegaskan kepentingan memberi ruang lebih besar kepada wanita dan golongan muda dari Sabah yang berkelayakan untuk tampil sebagai pemimpin dan wakil rakyat.
“Kita mahu lebih ramai wanita dan anak-anak muda Sabah yang berkebolehan tampil ke hadapan untuk mewakili rakyat di Parlimen.
“Beranilah bersuara, tetapi pastikan suara itu membawa kebenaran dan kepentingan rakyat, bukan sekadar untuk berteriak,” katanya.
