KOTA KINABALU: Sekumpulan pemilih kedai, penyewa, dan pengendali perniagaan di Pekan Menggatal meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agar memberikan maklumat terperinci berhubung proses kelulusan dan perancangan pembangunan semula pekan itu.
Jurucakap kumpulan itu, Encik Michael Wong berkata penjelasan itu penting memandangkan pembangunan semula itu mungkin memberi kesan kepada kemudahan parkir, akses pejalan kaki, jalan raya, saliran, dan infrastruktur lain di kawasan yang dicadangkan.
Kumpulan tessebut diwakili peguam mereka, Chong Kian Meng.
Dalam satu penyerahan rasmi bertajuk “Perwakilan Rasmi dan Permohonan untuk Pendedahan, Perundingan dan Penilaian Profesional Bebas,” kumpulan berkenaan menyatakan bahawa mereka tidak menentang pembangunan di kawasan itu.
Bagaimanapun, mereka menekankan bahawa sebarang inisiatif yang mempengaruhi lanskap semasa pekan Menggatal wajar dibuat melalui penilaian yang teliti, dikomunikasikan dengan telus, dan dilaksanakan dengan pertimbangan yang sewajarnya untuk keselamatan awam.
Sehubungan itu, dalam satu kenyataan, kumpulan berkenaan ingin mendapatkan maklumat yang jelas dan pengesahan daripapa DBKK mengenai proses pembangunan semula yang dicadangkan, serta rangka kerja undang-undang dan perancangan untuk sebarang kelulusan yang telah diberikan.
Mereka ingin tahu bagaimana projek itu diluluskan dan apakah peruntukan undang-undang atau perancangan yang terlibat.
Kumpulan itu juga mahu DBKK memperjelaskan agensi kerajaan mana yang telah mengeluarkan kelulusan, permit, atau persetujuan, dan kelulusan manakah yang masih menunggu.
Kumpulan berkenaan juga ingin mengetahui status terkini semua kelulusan perancangan dan pembangunan pekan Menggatal.
“Apakah penilaian perancangan, teknikal, dan kejuruteraan yang telah dilakukan sebelum kelulusan? Adakah pemilik kedai, penyewa, dan pengendali perniagaan yang terjejas telah dirunding sebelum sebarang kelulusan diberikan?
“Apakah syarat-syarat yang dilampirkan pada sebarang kelulusan? Adakah terdapat sebarang kelulusan teknikal atau keperluan yang tertunggak? kata Wong.
Katanya kumpulan tersebut juga telah meminta agar DBKK menyediakan dokumen projek yang relevan dalam format yang jelas dan mudah diakses, termasuk pelan tapak dan susun atur, pelan pembangunan yang diluluskan, cadangan pengubahsuaian kawasan parkir dan pejalan kaki, penilaian trafik, kajian risiko banjir dan saliran, pelan utiliti, metodologi dan jadual pembinaan, langkah-langkah perlindungan alam sekitar, kaedah cerucuk, dan pengaturan akses kecemasan.
Wong menyatakan bahawa perubahan yang dicadangkan boleh memberi kesan yang ketara terhadap operasi harian perniagaan di pekan Menggatal lama.
“Pengubahsuaian kepada tempat letak kereta, laluan pejalan kaki, atau akses jalan raya boleh mempengaruhi kebolehcapaian pelanggan, penghantaran, pergerakan pekerja, dan operasi perniagaan secara keseluruhan.
“Kami juga bimbang aktiviti pembinaan mungkin menyebabkan gangguan bunyi bising, habuk, getaran, kesesakan lalu lintas, dan gangguan lain.
Katanya, untuk memastikan penilaian objektif terhadap potensi impak, kumpulan tersebut meminta pelantikan pasukan profesional multidisiplin bebas supaya menjalankan penilaian menyeluruh terhadap pembangunan yang dicadangkan.
Kumpulan itu percaya bahawa penilaian bebas akan memberikan pemegang kepentingan dan pihak berkuasa yang terjejas asas profesional yang objektif untuk menentukan sama ada pembangunan yang dicadangkan boleh diteruskan dengan selamat dan mampan, katanya
