KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) terus mencatat prestasi kewangan yang kukuh apabila mengagihkan dividen berjumlah RM40 juta kepada para pemegang saham bagi tahun kewangan 2025.
Pembayaran dividen tersebut mencerminkan prestasi kewangan positif yang dicapai syarikat, selain membuktikan komitmen CIS untuk mengekalkan kecemerlangan operasi, pertumbuhan mampan serta tadbir urus korporat yang baik.
Dividen berkenaan diserahkan oleh Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof, selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat yang berlangsung di Hyatt Regency Hotel, di sini, hari ini.
Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah turut menyaksikan penyerahan dividen tersebut.
Daripada keseluruhan agihan RM40 juta itu, Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) menerima RM19.9 juta, Sabah Ports Authority (SPA) RM7.9 juta, manakala Tasek Corporation Berhad menerima RM12 juta.
Bagi tahun kewangan 2025, CIS merekodkan hasil jualan sebanyak RM541 juta, dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM81 juta.
Prestasi tersebut memperlihatkan keupayaan CIS mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dalam menghadapi cabaran industri, di samping terus memberikan nilai dan pulangan kepada para pemegang saham.
Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan CIS turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan operasi serta meneruskan strategi pertumbuhan yang mampan.
CIS yakin asas kewangan yang kukuh serta hala tuju strategik yang jelas akan terus menyokong pertumbuhan syarikat dalam jangka panjang, di samping meningkatkan sumbangan berterusan kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk AR James Wong Kein Peng; wakil ;*Tasek Corporation Berhad*, Stephen Ho Kiam Kong dan Chen Fun Tee; Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Dollyn Aloysius; Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof; serta ahli Lembaga Pengarah CIS, Datuk Umar Sarim Saidin
