Semangat sukarelawan perlu diperkukuh

TENOM: Semangat kesukarelawanan perlu terus diperkukuh bagi memastikan lebih banyak program kebajikan, kesihatan dan kemasyarakatan dapat dilaksanakan, terutama untuk masyarakat di kawasan pedalaman.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat setempat dan pelbagai pihak penting bagi memastikan usaha membantu golongan memerlukan dapat diteruskan secara berkesan.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan oleh Lions Club membuktikan komitmen pertubuhan itu dalam memberikan khidmat dan manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Semangat seperti ini amat kita hargai kerana mereka sanggup datang dari jauh untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di Tenom,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Lions Club kali ke-45 di sini, pada Jumaat.

Jamawi berkata, komitmen itu turut diterjemahkan menerusi kehadiran ahli Lions Club dari Hong Kong, Brunei Darussalam, Sarawak, Singapura dan Semenanjung Malaysia ke Tenom bagi bersama-sama menjayakan aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan.

Menurutnya, kehadiran ahli dari luar kawasan mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam usaha mendekati masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan.

Difahamkan, Lions Club turut melaksanakan program khidmat masyarakat termasuk program kesihatan di Rundum dan Kolorok serta beberapa kampung lain di daerah berkenaan.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha itu, Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada Lions Club Tenom bagi membantu pelaksanaan program dan aktiviti khidmat masyarakat pertubuhan berkenaan.

Jamawi berkata, penglibatannya dalam NGO, khususnya Lions Club sejak dahulu, banyak membentuk dirinya dalam aspek kesukarelawanan dan khidmat kepada masyarakat.

Beliau pernah menerajui Lions Club Tenom sebagai presiden bagi sesi 2002 hingga 2003 dan 2007 hingga 2009.

Katanya, pengalaman berkenaan turut menjadi asas kepada pendekatannya sehingga hari ini untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berharap kerjasama antara Lions Club, masyarakat setempat dan pelbagai pihak dapat terus diperkukuh bagi membolehkan lebih banyak program kebajikan, kesihatan dan kemasyarakatan dilaksanakan, terutama untuk masyarakat di kawasan pedalaman Tenom.

Hadir sama Pengerusi Lions Club, Yong Ket How serta ahlinya. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles