KOTA KINABALU: Rakyat, khususnya warganet, tidak wajar terus mempersoalkan keputusan mahkamah menggugurkan pertuduhan terhadap Tun Musa Aman di media sosial yang secara tidak langsung dilihat cubaan mengaibkan kedudukan Institusi Yang di-Pertua Negeri (TYT).
Aktivis Sosial Gundohing Misek Umbaris berkata walaupun Perlembagaan Negara menjamin hak kebebasan bersuara, namun ia tidak bermakna, warganet bebas mempertikai keputusan mahkamah dan pada masa sama cuba merendah-rendahkan kedudukan institusi TYT.
Sebaliknya, katanya rakyat perlu menghormati keputusan mahkamah, termasuk keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Tun Musa Aman bagi menjamin kedaulatan undang-undang, mematuhi prinsip perlembagaan, dan menerima hakikat bahawa pihak pendakwaan kekurangan bukti kukuh serta saksi penting untuk meneruskan perbicaraan.
Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi adalah berdasarkan budi bicara kehakiman yang sah.
“Proses ini mengikut lunas undang-undang sedia ada tanpa campur tangan langsung di dalam dewan mahkamah.
“Apa yang penting ialah menghormati keputusan mahkamah…ini bermaksud kita percaya pada sistem keadilan negara dan tidak mempersoalkan keputusan itu di media sosial,” katanya.
Misek, yang berkelululusan Ijazah Jurisprudens dari Universiti Malaya, berkata demikian sebagai response kepada komentar warganet yang kelihatan cuba mempertikaikan keputusan mahkamah menggugurkan kes terhadap Tun Musa Aman.
Pada 9 Jun 2020, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah (Tan Sri) Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.
Misek menegaskan bahawa warganet wajar memahami peruntukan undang-undang yang memberi kuasa budi bicara Peguam Negara yang termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa memulakan atau menarik balik sebarang kes pendakwaan.
Katanya tindakan menarik balik pertuduhan terhadap Tun Musa Aman dibuat setelah meneliti fakta kes dan keterangan bersumpah yang terperinci.
Sebab itu, katanya isu itu tidak lagi wajar diungkit dan dijadikan polemik untuk merendah rendahkan institusi TYT.
Misek berkata budaya merendah-rendahkan institusi Raja-Raja serta Yang di-Pertua Negeri bukan budaya rakyat Malaysia kerana ia bertentangan dengan nilai kesantunan Timur selain boleh menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat.
