Pusat Jantung Sabah – Rakyat Tak Perlu Lagi Terbang Ke Semenanjung – Zaki Susanto

TAWAU : Aktivis masyarakat Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto, menyambut baik pembangunan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) yang dijangka siap pada suku ketiga 2027 dan mentifatkannya sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan khususnya untuk rakyat negeri ini.

Beliau berkata, kewujudan pusat berkenaan memberi sinar baharu kepada pesakit jantung di Sabah kerana mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan perubatan di Semenanjung khasnya di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan kepakaran.

“Ini perkembangan yang sangat baik untuk rakyat Sabah. Selama ini apabila memerlukan rawatan jantung tertentu, pesakit terpaksa terbang ke Kuala Lumpur atau Semenanjung, sedangkan kos perjalanan, penginapan dan keperluan penjaga turut menjadi beban kepada keluarga.

“Dengan adanya Pusat Jantung Sabah, kita berharap rakyat Sabah tidak perlu lagi terbang jauh semata-mata untuk mendapatkan rawatan jantung yang sepatutnya boleh disediakan di negeri sendiri,” katanya.

Menurutnya, pembangunan pusat jantung itu juga perlu dilihat dalam konteks keluasan Sabah serta kedudukan geografi negeri yang mempunyai kawasan pedalaman dan pantai timur yang jauh dari Kota Kinabalu.

“Sabah bukan kecil. Dari segi keluasan, negeri ini kira-kira menyamai gabungan tiga negeri di Semenanjung iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Jadi, kita tidak boleh melihat keperluan kesihatan rakyat hanya berdasarkan lokasi pusat rawatan di Kota Kinabalu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Zaki mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan penubuhan cawangan Pusat Jantung Sabah atau sekurang-kurangnya penempatan pakar jantung secara berkala di Hospital Tawau dan Hospital Sandakan.

Katanya, langkah itu penting khususnya bagi menangani kes kecemasan jantung yang memerlukan tindakan pantas kerana faktor masa boleh menjadi sangat kritikal.

“Kita perlu melihat realiti geografi Sabah. Bagi pesakit dari Tawau, Lahad Datu, Semporna atau daerah sekitarnya, perjalanan ke Kota Kinabalu bukanlah dekat. Begitu juga penduduk Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan kawasan di utara Sabah.

“Dalam kes kecemasan jantung, kita tidak boleh hanya bergantung kepada konsep semua pesakit perlu dirujuk ke Kota Kinabalu. Perkhidmatan kepakaran perlu dibawa lebih dekat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Hospital Tawau dan Hospital Sandakan boleh dipertimbangkan sebagai hab perkhidmatan kardiologi bagi wilayah pantai timur, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit kepada Kota Kinabalu.

“Tidak semestinya terus membina sebuah pusat jantung berskala besar di setiap daerah. Kita boleh bermula dengan menempatkan pakar jantung, memperkukuh unit kardiologi, menyediakan peralatan bersesuaian serta sistem rujukan kecemasan yang lebih pantas.

“Apabila keperluan meningkat, barulah ia dikembangkan menjadi cawangan Pusat Jantung Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Mohd. Zaki berharap kerajaan turut memberi perhatian kepada aspek sumber manusia, khususnya penambahan pakar kardiologi dan pakar bedah kardiotorasik bagi memastikan kemudahan baharu itu benar-benar dapat beroperasi secara optimum.

Laporan terkini menyebut KKM sedang merancang keperluan pakar lebih awal, termasuk menambah pakar bedah kardiotorasik yang masih terhad di Sabah.

“Kita tidak mahu hanya mempunyai bangunan yang cantik dan lengkap dengan peralatan tetapi kekurangan pakar. Infrastruktur mesti bergerak seiring dengan tenaga manusia, latihan kepakaran dan kapasiti rawatan.

“Matlamat akhirnya ialah memastikan rakyat Sabah mendapat rawatan jantung yang berkualiti, pantas dan sedekat mungkin dengan tempat tinggal mereka,” katanya.

Mohd. Zaki berkata, pembangunan Pusat Jantung Sabah wajar menjadi permulaan kepada rangkaian perkhidmatan jantung yang lebih menyeluruh di seluruh Sabah, bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu.

“Ini bukan soal Kota Kinabalu lawan Tawau atau Sandakan. Ini soal akses kesihatan yang adil untuk seluruh rakyat Sabah.

“Kita alu-alukan Pusat Jantung Sabah dan pada masa sama berharap perancangan seterusnya mengambil kira keperluan rakyat di pantai timur serta kawasan pedalaman,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles