KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan meminda Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi memastikan setiap syor yang dikemukakan oleh mana-mana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) benar-benar dilaksanakan sehingga masalah negara yang mendasarinya diselesaikan.
Katanya, cabaran terbesar negara bukan lagi mencari kebenaran melalui sesuatu RCI, sebaliknya memastikan kebenaran itu diterjemahkan kepada reformasi sistem tatakelola negara secara konsisten dan berakauntabiliti.
“Pengalaman negara melalui RCI Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah, RCI kematian Teoh Beng Hock dan kini RCI Tabung Haji menunjukkan pengalaman yang sama berulang, membuktikan sudah tiba masanya negara memperkukuhkan sistem berkenaan.
“Laporan RCI Tabung Haji yang siap disediakan pada 2023 hanya dibentangkan kepada Parlimen beberapa tahun kemudian akibat tiada kewajipan undang-undang yang jelas mengenai tempoh pembentangan laporan RCI kepada Dewan,” katanya.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata demikian ketika berbahas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji di Sidang Khas Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
Beliau turut mencadangkan penggubalan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Siasatan (Pelaksanaan Syor dan Akauntabiliti) (Pindaan) bagi memastikan setiap RCI hanya dianggap selesai apabila syor-syornya diterjemahkan kepada pembaharuan sebenar, bukan berakhir sebaik sahaja laporan diserahkan kepada Kerajaan.
“Saya mencadangkan supaya setiap laporan RCI disusuli dengan satu Pelan Reformasi Nasional yang memperincikan tindakan, kementerian peneraju, garis masa pelaksanaan, keperluan kewangan dan Petunjuk Prestasi Utama bagi setiap syor, serta wajib dibentangkan kepada Parlimen.
“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan juga perlu diberi mandat memantau pelaksanaan syor RCI secara berkala serta memanggil kementerian dan agensi bertanggungjawab memberi penjelasan.
“Merujuk pengalaman RCI Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah, Sekretariat Tetap yang disyorkan hanya bermesyuarat 13 kali dalam tempoh lebih sedekad sedangkan isu pendatang tanpa izin masih menjadi cabaran besar Sabah, membuktikan reformasi institusi perlu diukur berdasarkan masalah yang benar-benar diselesaikan, bukan aktiviti yang dijalankan.
“Marilah kita memastikan setiap Suruhanjaya Siasatan Diraja selepas ini bukan sahaja berjaya mencari kebenaran, tetapi juga berjaya melaksanakan kebenaran sehingga masalah negara benar-benar diselesaikan,” katanya.
