Dr Rockey sah tanding jawatan Ketua Exco Pemuda PBS pusat

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.39 Tambunan, Dr. Rockey Jerome Budin, secara rasmi mengesahkan penyertaannya dalam pemilihan Jawatan Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS Pusat selepas memenuhi syarat kelayakan berdasarkan jumlah pencalonan yang diterima daripada Ketua-Ketua Pemuda Bahagian di seluruh Sabah.

Pengesahan tersebut dibuat menerusi pemeteraian borang pengesahan pencalonan di Pejabat PBS Pusat, Kota Kinabalu, sekali gus menandakan kesediaan beliau menawarkan kepimpinan baharu kepada Pergerakan Pemuda PBS pada pemilihan sempena Persidangan Agung Tahunan PBS Kali Ke-41 Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung pada bulan September ini.

Dr. Rockey merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ketua Pemuda Bahagian yang telah memberikan kepercayaan dan sokongan dengan mencalonkan beliau untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh Ketua-Ketua Pemuda Bahagian. Pencalonan ini bukan sekadar satu penghormatan kepada saya, tetapi merupakan amanah besar yang akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan semangat perjuangan demi masa depan Pergerakan Pemuda PBS,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya diberikan mandat sebagai Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS Pusat, keutamaan beliau adalah memperkukuhkan lagi pergerakan pemuda agar lebih tersusun, progresif, inklusif serta bersedia menghadapi cabaran politik dan aspirasi generasi muda pada masa hadapan.

Antara misi yang akan diberi tumpuan ialah memperkasakan organisasi Pemuda PBS di semua peringkat, memperluaskan penyertaan golongan belia dalam perjuangan parti, melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa, mempertingkatkan latihan kepimpinan dan kemahiran politik, memperkukuhkan penggunaan media digital sebagai medium komunikasi yang berkesan, serta menggerakkan agenda ekonomi, keusahawanan dan pembangunan belia yang mampu memberi manfaat kepada generasi muda Sabah.

Dari sudut visi, Dr. Rockey berhasrat menjadikan Pergerakan Pemuda PBS sebagai sebuah sayap parti yang kukuh, dinamik, profesional, progresif dan diyakini oleh generasi muda sebagai wadah utama memperjuangkan hak, kepentingan serta masa depan rakyat Sabah berlandaskan semangat perjuangan PBS.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan Pergerakan Pemuda PBS bukan hanya bergantung kepada kepimpinan pusat, sebaliknya terletak pada perpaduan, kesepakatan dan kerjasama erat antara semua Ketua Pemuda Bahagian, Ahli Jawatankuasa serta seluruh jentera akar umbi di setiap bahagian.

Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh Ketua Pemuda Bahagian dan para perwakilan yang bakal menghadiri Persidangan Agung Tahunan PBS Kali Ke-41 Peringkat Negeri Sabah pada bulan September nanti dapat memberikan sokongan padu serta memilih beliau sebagai Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS Pusat yang baharu.

“Saya dengan rendah hati memohon sokongan dan kepercayaan daripada seluruh Ketua Pemuda Bahagian serta para perwakilan. Sekiranya diberikan mandat, saya berjanji akan memimpin dengan penuh integriti, mengamalkan kepimpinan berpasukan, sentiasa mendengar suara akar umbi serta membawa Pergerakan Pemuda PBS ke arah yang lebih cemerlang, bersatu, progresif dan dihormati,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh warga Pergerakan Pemuda PBS agar terus memperkukuhkan semangat perpaduan, mengeratkan ukhuwah dalam parti serta bersama-sama membina sebuah pergerakan pemuda yang lebih relevan, berdaya saing dan menjadi tunjang kekuatan PBS dalam menghadapi pilihan raya serta cabaran politik pada masa hadapan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles