PERANAN GRS KIAN RELEVAN, PENENTU KESTABILAN KERAJAAN PUSAT

KOTA MARUDU — Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) melihat landskap politik semasa di Semenanjung Malaysia meletakkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada kedudukan yang amat strategik dan semakin relevan dalam memastikan kelangsungan serta kestabilan pentadbiran nasional.

Pengerusi PERKOM, Dato’ Dr. Janathan Kandok, menyatakan bahawa situasi politik di peringkat Persekutuan hari ini memperlihatkan pergantungan yang tinggi daripada kepimpinan arus perdana di Semenanjung terhadap sokongan padu daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak, terutamanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS.

“Senario politik semasa di Semenanjung jelas membuktikan bahawa GRS dan GPS kini bukan sekadar pelengkap, malah menjadi tunjang utama dan penentu kestabilan kepada Kerajaan Perpaduan. Keadaan ini memberikan ruang tawar-menawar yang lebih besar kepada kepimpinan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, untuk terus memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat Sabah secara lebih efektif,” ujar beliau dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Dr. Janathan, kekuatan mandat tempatan yang dibawa oleh GRS membolehkan suara rakyat Sabah didengari dengan lebih jelas di peringkat pusat, mengetepikan dominasi politik sempit yang sering merencatkan pembangunan Sabah ini pada masa lalu.

Tambahnya lagi, kestabilan politik di peringkat Persekutuan yang disokong oleh muafakat bersama GRS dan GPS ini harus diterjemahkan kepada faedah ekonomi yang langsung kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar seperti Tandek, Bandau dan Matunggong.

“Dengan kedudukan politik yang semakin kukuh dan relevan ini, kita berharap agar segala perbincangan mengenai hak-hak teras Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk peruntukan kewangan dan pembangunan infrastruktur asas, dapat dipercepatkan demi membasmi kemiskinan serta memacu kemajuan menerusi kerangka Sabah Maju Jaya,” jelas beliau.

PERKOM menyeru agar seluruh rakyat Sabah terus mengekalkan perpaduan dan berdiri teguh di belakang kepimpinan tempatan yang komited memperjuangkan nasib negeri ini demi masa depan yang lebih makmur.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles