PENAMPANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk James Ligunjang JP bersama beberapa tokoh politik dan profesional dari kawasan Parlimen Penampang secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), hari ini.
Turut menganggotai parti itu ialah Datuk Edmund Doudilim, Dr. Tan Jun Kwang, Wilson Chang, Datuk Aloysius Mobijin, Frederick Francis Fung, Anwar Syed Shariff Abdullah, TS Gary Chang dan Albert Doudilim.
Borang permohonan keahlian mereka diserahkan kepada Pengerusi PGRS Bahagian Moyog, Datuk Mandela Malakun dalam satu majlis ringkas di ITCC Penampang, yang turut disaksikan Pengerusi PGRS Bahagian Kepayan, Datuk Steven Jimbangan.
James berkata, keputusan menyertai PGRS merupakan satu langkah untuk memperkukuhkan lagi perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah disokongnya sejak penubuhan gabungan itu.
Menurutnya, walaupun selama ini beliau tidak menganggotai mana-mana parti komponen GRS, keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan kerajaan negeri mendorong beliau dan rakan-rakan memilih PGRS sebagai wadah perjuangan.
“Kami menyertai PGRS untuk membantu mengukuhkan kekuatan akar umbi parti dan memperkasakan GRS demi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus terbela,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berjaya membawa pelbagai pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negeri.
Katanya, pencapaian kerajaan negeri pada hari ini membuktikan kepimpinan sedia ada berada di landasan tepat dan wajar terus diberikan sokongan.
Kemasukan James bersama beberapa tokoh berpengalaman itu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan PGRS di kawasan Parlimen Penampang serta memperluaskan pengaruh parti menjelang perkembangan politik negeri akan datang.
