KOTA KINABALU: Seramai 12 orang pelajar dari kawasan Parlimen Sepanggar berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Sambil menyifatkan pencapaian cemerlang itu sebagai membanggakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata
kejayaan itu membuktikan bahawa anak-anak Sepanggar mempunyai potensi besar untuk bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.
Katanya daripada jumlah itu, 11 orang merupakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.
“Lebih membanggakan lagi, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu muncul sebagai kolej tingkatan enam terbaik di Sabah dan peringkat kebangsaan,” katanya.
Mustapha berkata demikian pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani STPM 2025 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, dekat sini, hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah
kepada Ahmad Mursyied Umair bin Darwis dari SMK Agama Kota Kinabalu, yang telah mengharumkan nama negeri Sabah selepas dinobatkan sebagai Murid Terbaik Kebangsaan STPM Tahun 2025.
Mustapha berkata kejayaan itu bukan sahaja membanggakan sekolah beliau, tetapi turut menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar di Parlimen Sepanggar dan negeri Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru tingkatan enam, para pengetua dan barisan pentadbir sekolah yang sentiasa komited membimbing serta memberi sokongan kepada para pelajar.
