Jamawi gariskan dua strategi tingkatkan SSL beras Sabah

KENINGAU: Sabah menyasarkan kadar Sara Diri (SSL) beras negeri ini meningkat kepada kira-kira 30 peratus menjelang 2030 menerusi dua strategi utama iaitu membuka semula kawasan sawah padi terbiar dan meningkatkan hasil pengeluaran padi menggunakan teknologi moden.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini kadar SSL beras Sabah hanya sekitar 19 peratus, sekali gus menunjukkan negeri ini masih bergantung kepada bekalan beras import.

Katanya, sasaran itu penting bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik dan krisis tenaga yang boleh menjejaskan bekalan beras daripada negara pengeksport seperti Vietnam dan Thailand.

“Kita mempunyai sasaran yang cukup jelas untuk meningkatkan hasil padi. Buat masa ini SSL Sabah lebih kurang 19 peratus. Ini bermakna daripada setiap 100 orang yang memerlukan beras, hanya 19 orang mendapat bekalan beras yang dihasilkan di Sabah dan keadaan ini tidak sesuai.

“Jika kita tidak mempunyai gerak kerja yang lebih tersusun, kemungkinan kita tidak akan mendapat bekalan beras daripada negara pengimport seperti Vietnam dan Thailand. Sebab itu kita mahu meningkatkan SSL dengan membuka semula kawasan sawah terbiar serta menaik taraf sistem pengairan,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Sukan Dwi Tahunan Kelab Sukan dan Hiburan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah Ke-26 di Kompleks Sukan Keningau, kelmarin (1 Ogos). 

Jamawi berkata, Sabah mempunyai kira-kira 4,000 hektar tanah sawah terbiar dan pembukaan semula 2,000 hektar dijangka mampu meningkatkan SSL negeri sebanyak kira-kira 10 peratus.

“Jika semua 4,000 hektar dapat dibangunkan semula, SSL mungkin boleh meningkat sehingga sekitar 20 peratus. Namun berdasarkan peruntukan sedia ada, sasaran kita ialah membuka semula kira-kira 2,000 hektar menjelang 2030 dan meningkatkan SSL kepada sekitar 30 peratus,” katanya.

Selain membuka kawasan baharu, beliau berkata, strategi kedua ialah meningkatkan produktiviti sawah sedia ada daripada purata tiga tan sehektar kepada lima hingga enam tan sehektar dalam tempoh lima tahun melalui penggunaan teknologi, mekanisasi dan dron.

“Sekarang hasil petani kita sekitar tiga tan sehektar. Dengan penggunaan teknologi, mekanisasi, dron dan amalan pertanian yang lebih baik, saya yakin dalam tempoh lima tahun kita mampu mencapai lima hingga enam tan sehektar. Ini akan meningkatkan SSL secara automatik,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, beliau menerima banyak aduan mengenai kekurangan bekalan air bagi pengairan sawah padi di beberapa kawasan di Keningau sehingga ada petani tidak dapat menanam padi selama dua hingga tiga musim.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah memulihkan sistem pengairan di Kepayan Baru yang kini sedia digunakan semula bagi musim penanaman akan datang, manakala masalah di Skim Pengairan Penagatan  turut berjaya diselesaikan selepas kerja pembaikan intake dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi dan Pejabat Daerah Keningau.

Bagaimanapun, beliau berkata, antara punca utama kerosakan sistem pengairan ialah aktiviti pengorekan batu pasir oleh kuari berhampiran muka sauk yang menyebabkan paras sungai menjadi cetek dan menjejaskan sistem pengambilan air.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua agensi kerajaan serta pentadbiran daerah supaya memperketatkan penguatkuasaan dan tidak meluluskan operasi kuari berhampiran sistem pengairan sawah padi.

“Apabila sistem pengairan rosak atau terhakis, kos pembaikan menjadi lebih tinggi. Jika perkara ini berulang tanpa sokongan pengusaha kuari, ia akan terus menjejaskan sawah padi di kawasan ini,” katanya.

Jamawi berkata, beliau juga akan meninjau beberapa lagi kawasan yang menghadapi masalah pengairan termasuk di Bingkor dan Skim Bumburing II, Apin-apin di bawah JPS Keningau. 

Katanya, kawasan Skim Bumburing II telah menerima peruntukan tambahan dan kerja pemulihan sistem pengairan dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai-pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran serta menggesa mereka terus turun padang membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi petani di seluruh negeri.

Pesta Sukan Dwi Tahunan Kelab Sukan dan Hiburan JPS Sabah Ke-26 yang bermula sejak 10 Julai lalu dan dijadual berakhir esok.

Jamawi mengucapkan tahniah kepada JPS Tenom, Keningau dan Tambunan yang berganding bahu sebagai tuan rumah serta memuji kelancaran penganjuran kejohanan yang berlangsung selama hampir tiga minggu dengan acara kemuncak diadakan hujung minggu ini.

Hadir sama ialah Pengarah JPS, Ir. Hj Siraja Hj. Bashora; Presiden Kelab Sukan dan Hiburan JPS Sabah, Miklin Ationg dan Pengerusi Penganjur Sukan Dwi Tahunan; Jason Sondoh, Lahaman Dahing dan Romae Tati. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles