TUARAN : Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berpuas hati dengan kemajuan serta pelaksanaan pelbagai projek dan aktiviti jabatan serta agensi di bawah kementeriannya selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi di daerah ini hari ini.
Lawatan itu melibatkan projek Jabatan Perikanan, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Ko-Nelayan, sebelum beliau menghadiri Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jumain Abdul Ghani, yang kini berpindah ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).
Turut hadir Pembantu Menteri I dan II, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts Haji Jifrin Haji Mohamad; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Ketua-Ketua Jabatan serta para pegawai kementerian.
Lawatan dimulakan di Pusat Semaian Anak Benih LIGS yang menawarkan pelbagai jenis benih buah-buahan pada harga kompetitif.
Jamawi bersama rombongan kemudian melawat Pusat Latihan, Pusat Ternakan dan Kolam Pancing Ko-Nelayan di Kampung Laya-Laya, diikuti Pusat Pembenihan Ikan Marin Jabatan Perikanan di kampung yang sama serta Pusat Ternakan Ikan Dalam Sangkar milik Ko-Nelayan di Kampung Terayong.
“Saya berpuas hati dengan segala usaha yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
“Ia menunjukkan kita berada pada landasan yang tepat dalam memacu ekonomi negeri, khususnya ketika berdepan cabaran global yang semakin kritikal.
“Situasi di Asia Barat yang masih tidak menentu mengingatkan kita tentang pentingnya memperkukuhkan keselamatan makanan serta meningkatkan pengeluaran hasil perikanan dan sumber laut yang mampu diusahakan oleh nelayan tempatan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jabatan dan agensi atas komitmen mereka dalam memastikan sektor pertanian, perikanan, ternakan dan industri makanan terus diperkasakan.
Jamawi berkata, Kerajaan Negeri kini sedang memuktamadkan Dasar Pertanian Negeri Sabah 2026-2030 yang dijadual dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sempena Hari Penternak, Peladang dan Nelayan di Tenom pada Oktober ini.
Katanya, dasar berkenaan akan menjadi hala tuju pembangunan sektor pertanian, ternakan, perikanan, industri makanan serta industri getah di Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.
Mengenai isu BUDI Diesel, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Khas telah mengemukakan secara rasmi semua maklum balas dan cadangan penambahbaikan yang diterima daripada kementerian, agensi, pemain industri serta masyarakat kepada Kementerian Kewangan Persekutuan.
“Perkara ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri baru-baru ini dan Kementerian Kewangan memohon tempoh kira-kira dua hingga tiga minggu untuk meneliti semua rayuan serta cadangan penambahbaikan BUDI Diesel khusus bagi Sabah sebelum membuat keputusan,” katanya.
Selepas itu, Jamawi juga menghadiri Majlis Sanjungan Budi mantan Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Jumain Abdul Ghani yang akan meneruskan perkhidmatannya ke Kementerian Kerajaan Tempatan (KKTP).
