Rakyat Tuaran Tidak Boleh Terus Menjadi Mangsa Gangguan Bekalan Air Yang Berulang – Madius

KOTA KINABALU: Anggota Parliamen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan supaya mempercepatkan transformasi sistem bekalan air di Sabah.

Katanya langkah itu penting bagi memastikan sistem bekalan air negeri lebih tahan lasak, lebih moden dan lebih bersedia menghadapi perubahan iklim yang semakin ekstrem.

“Kita memerlukan pelaburan yang lebih agresif untuk menaik taraf loji-loji rawatan air, memperkukuhkan perlindungan kawasan tadahan air, meningkatkan teknologi rawatan air bagi menghadapi kadar kekeruhan (NTU) yang tinggi, sekali gus mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW).

“Ini memastikan kapasiti bekalan air mempunyai reserve margin yang mencukupi untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Madius, air bersih bukan sekadar kemudahan awam, sebaliknya ia keperluan asas kehidupan. 

“Sebab itu rakyat mempunyai harapan yang tinggi agar isu bekalan air diberi keutamaan yang setanding dengan kepentingannya kepada kehidupan dan pembangunan ekonomi Sabah.

“Sebagai Ahli Parlimen Tuaran dan ADUN Tamparuli, saya akan terus memantau perkembangan pemulihan bekalan air ini serta membawa isu ini kepada perhatian Kerajaan Negeri supaya langkah-langkah penyelesaian jangka pendek dan pelan jangka panjang dapat dipercepatkan,” katanya.

Madius juga menggesa semua pengguna yang terjejas supaya menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh pemulihan bekalan.

“Rakyat Sabah bukan meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mengharapkan apabila membuka paip di rumah, air bersih mengalir tanpa gangguan yang berulang.

“Itulah ukuran sebenar sebuah sistem perkhidmatan awam yang cekap, berdaya tahan dan benar-benar mengutamakan rakyat,” katanya.

Madius berkata demikian susulan notis kecemasan yang dikeluarkan oleh Jabatan Air Sabah berhubung penutupan sementara operasi Loji Rawatan Air Telibong I, Loji Pekan Tuaran dan Loji Rawatan Air Kg. Bawang.

 Penutupan itu dilaksanakanberikutan kadar kekeruhan (NTU) air sungai yang meningkat ke paras yang tidak selamat untuk proses rawatan.

Akibatnya, puluhan ribu penduduk di Parlimen Tuaran, termasuk kawasan Tamparuli serta beberapa kawasan di Kota Kinabalu, sekali lagi terpaksa berhadapan dengan gangguan bekalan air. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles