KADAR PENGANGGURAN DI SABAH MENURUN KEPADA 5.5 PERATUS PADA SUKU PERTAMA 2026 – KBSK

KOTA KINABALU: Kadar pengangguran keseluruhan di Sabah mencatatkan penurunan kepada 5.5 peratus pada Suku Pertama Tahun 2026, berbanding 6.0 peratus pada Suku Keempat 2025.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, berkata prestasi ini turut menunjukkan trend pemulihan yang positif berbanding kadar tertinggi selepas pandemik COVID-19 iaitu 8.2 peratus yang direkodkan pada 2020.

“Bagi Negeri Sabah, kadar pengangguran keseluruhan mencatatkan 5.5 peratus pada Suku Pertama Tahun 2026, berbanding 6.0 peratus pada Suku Keempat Tahun 2025 dan 7.6 peratus pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis daripada Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tamparuli) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Khamis.

Dalam soalannya, Madius minta menteri menjelaskan kadar pengangguran belia di Sabah mengikut daerah serta program yang dilaksanakan bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ketujuh Belas di Kota Kinabalu.

Menurut Nizam, Negeri Sabah masih mengekalkan definisi belia berumur 15 hingga 40 tahun selaras dengan dasar Kerajaan Negeri, walaupun Kerajaan Persekutuan telah menetapkan had umur baharu iaitu 15 hingga 30 tahun.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak menerbitkan statistik rasmi kadar pengangguran belia mengikut daerah atau kawasan pihak berkuasa tempatan seperti Bandar Raya Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun, berdasarkan statistik DOSM Sabah bagi tahun 2024, kadar pengangguran belia mengikut kumpulan umur adalah seperti berikut; kumpulan 15 hingga 19 tahun mencatatkan 25.6 peratus, 20 hingga 24 tahun 36.9 peratus, 25 hingga 29 tahun 16.2 peratus, 30 hingga 34 tahun 8.7 peratus dan 35 hingga 39 tahun 4.9 peratus.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif melaksanakan pelbagai program khusus bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Antara program tersebut ialah program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) berasaskan keperluan industri berteknologi tinggi, latihan kemahiran berasaskan industri dengan penempatan kerja di sektor bernilai tambah tinggi seperti minyak dan gas, teknologi maklumat serta perkhidmatan profesional, dan penganjuran Karnival Kerjaya yang menghubungkan belia dengan majikan sektor berpendapatan tinggi.

Beliau turut menyebut sektor ekonomi kreatif termasuk kandungan digital sebagai bidang berpotensi menjana pendapatan tinggi kepada golongan belia.

“Kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi latihan kemahiran dan sektor swasta turut dijalankan bagi memperluas peluang latihan industri dan pembangunan kerjaya berpendapatan tinggi,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles