Jelajah Kebun Dapur Melalap tarik sambutan luar jangka

TENOM:  Program Jelajah Kebun Dapur peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat serta peserta dari kawasan luar termasuk Keningau untuk memahami inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program yang berlangsung di Dewan OKK Datuk Sanggau Jalang, Melalap hari ini bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan kebun dapur, malah turut diisi dengan ceramah berkaitan akademik, kenegaraan dan semangat cintakan negara.

“Kita melaksanakan Jelajah Kebun Dapur untuk DUN Melalap dan menyediakan pelbagai pengisian sepanjang program ini. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran masyarakat dari Melalap dan juga kawasan lain seperti Keningau,” katanya kepada media selepas merasmikan program itu hari ini. 

Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, pendekatan yang diperkenalkan menerusi program tersebut berbeza daripada bantuan pertanian konvensional kerana kementerian tidak mahu peserta terlalu bergantung kepada subsidi.

Beliau berkata, sebaliknya kementerian memperkenalkan kaedah potongan harga bagi input pertanian dan ternakan untuk menggalakkan peserta lebih berdikari dalam mengusahakan projek masing-masing.

“Banyak program sebelum ini kurang berjaya kerana terlalu bergantung kepada subsidi. Sebab itu kita memperkenalkan inisiatif potongan harga.

“Anak ayam dijual pada harga RM2.50 seekor berbanding RM5 di pasaran. Anak ikan pula dijual pada harga 15 sen seekor berbanding sekitar 30 sen di luar. Benih nanas MD2 yang biasanya berharga RM4.50 hingga RM3 dijual pada harga RM1.50 sahaja,” katanya.

Jamawi berkata, bagi tanaman sayuran berdaun pula, benih diberikan secara percuma kepada peserta program.

Selain itu, katanya, kementerian turut memperkenalkan kursus penanaman halia menggunakan kaedah moden yang mampu meningkatkan hasil dan seterusnya menambah pendapatan isi rumah.

“Program tanaman halia ini merupakan antara inisiatif baharu yang kita laksanakan sejak awal tahun menggunakan sistem yang lebih moden dan sistematik. Kaedah ini dapat menghasilkan pulangan yang lebih lumayan kepada peserta,” katanya.

Mengulas amaran kemungkinan berlakunya fenomena Super El Nino pada November ini, Jamawi berkata, kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi memastikan komuniti pertanian membuat persediaan awal.

Beliau berkata, petani dinasihatkan supaya tidak membuka kawasan baharu secara besar-besaran serta mula menyediakan kolam takungan kecil di kebun masing-masing sebagai sumber bekalan air semasa musim kering.

“Kita juga memberi kesedaran kepada petani, penternak dan nelayan bahawa fenomena El Nino yang mungkin berpanjangan selama tiga hingga empat bulan boleh memberi kesan langsung kepada sektor pertanian, perikanan, industri makanan dan penternakan.

“Dengan persediaan awal, kita berharap impak yang bakal berlaku dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Jamawi berkata, daerah Tenom telah dipilih sebagai tuan rumah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 13 September depan.

Katanya, pelbagai program telah dirancang sepanjang tiga hari dua malam penganjuran acara itu termasuk pameran, lawatan, aktiviti pertanian serta penyampaian anugerah kepada pengusaha terbaik dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

“Ini kali pertama program berskala negeri ini dibawa ke kawasan pedalaman dan kita percaya ia akan memberi impak positif kepada masyarakat luar bandar.

“Kita mahu menunjukkan bahawa sektor pertanian, penternakan, industri makanan dan getah mampu diusahakan secara komersial serta memberikan pulangan yang lumayan kepada masyarakat kampung,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga merancang untuk menjemput Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bagi merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah itu.

Turut hadir Pembantu Menteri, Datuk Haji Ruslan Muharam; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Timbalan Setiausaha Tetap, Maria David Edick; Penolong Pegawai Daerah Tenom, Dr. Zulasri Piting; Pengarah LIGS, Sabdil Tanjong; Timbalan Pengarah Pertanian, Jackson R. Jaimi serta Pegawai Kementerian dan pemimpin setempat. 

Terdahulu, Jamawi telah merasmikan Perasmian Kedai Bunga di Kg Muhibbah Keningau dan kemudiannya meraihkan lawatan Pelawat  dari Kg Linuk, Tambunan ke Taman Pertanian Sabah, Tenom. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles