KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) mencadangkan agar kerajaan Persekutuan menaikkan kuota subsidi kepada 300 liter bagi setiap kenderaan diesel warga pendidik di negeri ini.
Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata kuota subsidi sebanyak 200 liter sebulan ‘tidak ngam’ dengan keadaan geografi Sabah yang mempunyai keluasan kawasan serta jarak perjalanan jauh, terutama kawasan pedalaman.
“Sebab itu, kami di KGKS memohon jasa baik kerajaan supaya mengkaji semua dasar berkaitan subsidi diesel dan mencadangkan kouta ini dinaikkan kepada 300 litre,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Murkam turut menyokong saranan agar syarat kelayakan BUDI Diesel yang dianggap terlalu ketat dilonggarkan.
Katanya ini kerana syarat kelayakan sedia ada menyukarkan ramai rakyat mendapatkan subsidi berkenaan.
“Kita harap pelaksanaan subsidi diesel dengan mekanisme subsidi petrol diselaraskan bagi memudahkan rakyat,” katanya.
