TAMBUNAN: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.39 Tambunan, Dr. Rockey Jerome Budin, menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia supaya menilai semula cadangan penutupan JPJ Cawangan Tambunan yang didakwa bakal berkuat kuasa pada 31 Ogos 2026.
Beliau berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia bukan sahaja akan menyukarkan urusan harian rakyat, malah akan menjejaskan akses penduduk di kawasan pedalaman terhadap perkhidmatan kerajaan.
Menurut Dr. Rockey, sekiranya JPJ Cawangan Tambunan ditutup, semua urusan berkaitan JPJ terpaksa dilakukan di JPJ Cawangan Keningau yang terletak kira-kira 55 kilometer dari Tambunan.
Beliau yang juga merupakan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) N. N39 Tambunan menyatakan, jarak tersebut mengambil masa hampir sejam perjalanan sehala. Ini bermakna urusan yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam tempoh satu jam akan mengambil masa hampir sehari. Selain kos bahan api yang semakin meningkat, rakyat juga terpaksa mengorbankan masa dan menanggung perbelanjaan tambahan hanya untuk mendapatkan perkhidmatan asas kerajaan, katanya.
Beliau menegaskan bahawa kewujudan JPJ Cawangan Tambunan adalah bagi memudahkan rakyat, bukannya untuk dikurangkan apatah lagi ditutup.
“Sepatutnya perkhidmatan di JPJ Tambunan diperkasakan dengan menambah lebih banyak urusan seperti pemeriksaan kenderaan, Unit Penguatkuasaan serta unit-unit lain yang ketika ini hanya terdapat di cawangan yang lebih besar. Pendekatan ini lebih memberi manfaat kepada rakyat berbanding menutup terus pejabat tersebut,” katanya.
Dr. Rockey turut menyatakan bahawa penutupan cawangan itu akan menjejaskan peluang kakitangan JPJ yang berasal dari Tambunan untuk kembali berkhidmat di daerah sendiri.
Beliau berkata, sekiranya penutupan diteruskan, perkhidmatan kepada rakyat hanya akan bergantung kepada JPJ Bergerak menggunakan van yang hadir mengikut jadual tertentu.
“Perkhidmatan JPJ Bergerak tidak mampu menggantikan fungsi sebuah pejabat tetap kerana ia hanya hadir secara berkala, contohnya sekali seminggu. Sedangkan keperluan rakyat untuk berurusan dengan JPJ berlaku setiap hari,” katanya.
Mengulas alasan bahawa cawangan itu didakwa mencatat kutipan hasil yang rendah, Dr. Rockey berpendapat keadaan tersebut berpunca daripada skop perkhidmatan yang terhad di JPJ Tambunan.
“Kalau perkhidmatan yang diberikan terhad, sudah tentu hasil kutipan juga terhad. Penyelesaiannya bukan menutup pejabat, tetapi memperluaskan jenis perkhidmatan yang ditawarkan supaya lebih ramai rakyat menggunakan kemudahan tersebut,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai sebuah agensi kerajaan, keutamaan JPJ seharusnya adalah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, bukannya keuntungan semata-mata.
“JPJ bukan sebuah syarikat swasta yang mengutamakan keuntungan. Fungsi utamanya ialah memberikan perkhidmatan yang cekap, mudah diakses dan berkualiti kepada rakyat,” katanya.
Dr. Rockey turut memaklumkan bahawa beliau menerima maklumat mengenai cadangan penutupan tersebut daripada pelbagai pihak, termasuk sumber dalaman, dan berharap perkara itu dapat diperjelaskan oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menjemput Pengarah JPJ Negeri Sabah untuk turun sendiri ke Tambunan bagi melihat keadaan sebenar dan memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk.
“Saya menjemput Pengarah JPJ Negeri Sabah datang sendiri ke Tambunan. Lihat sendiri keadaan geografi daerah ini, rasai sendiri jarak perjalanan yang perlu ditempuh oleh rakyat, dan nilai sendiri betapa pentingnya kewujudan JPJ Cawangan Tambunan kepada masyarakat setempat sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” katanya.
Menurut beliau, tindakan awal perlu diambil memandangkan maklumat yang diterima menyatakan cadangan penutupan itu dijangka berkuat kuasa pada 31 Ogos 2026.
“Jika benar perkara ini sedang dipertimbangkan, kita masih mempunyai masa untuk membawa isu ini ke perhatian Kerajaan Persekutuan kerana JPJ merupakan agensi di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dr. Rockey turut memaklumkan bahawa beliau akan menghantar surat rasmi kepada kementerian berkaitan dalam masa terdekat bagi memohon supaya cadangan tersebut dikaji semula.
“Ini bukan isu politik. Ini adalah isu kepentingan awam yang melibatkan seluruh masyarakat Tambunan. Saya akan mengemukakan surat rasmi kepada kementerian kerana saya percaya suara rakyat perlu didengar dan kepentingan mereka mesti diutamakan,” tegas beliau.
Beliau berharap Kementerian Pengangkutan Malaysia, JPJ Malaysia dan JPJ Negeri Sabah akan mempertimbangkan semula cadangan berkenaan serta memberi keutamaan kepada usaha memperkukuhkan perkhidmatan di Tambunan, bukannya menutup kemudahan yang telah sekian lama memberi manfaat kepada rakyat.
