PENAMPANG : Seramai 12 peserta akan bertanding bagi merebut gelaran Unduk Ngadau Peringkat Gabungan Enam Kampung yang akan berlangsung di Monsopiad Heritage Village pada 11 Julai ini.
Pengerusi Acara Unduk Ngadau itu, Susanna Mojiniu berkata semua peserta pertandingan akhir tersebut mewakili kampung Kuai, Kg Kandazon Botung, kg Mahandoi, kg Baba Bunduon, kg Nambazan dan Kg Ramayah.
Katanya program komuniti Lamai Kaamatan, anjuran bersamaJawatankuasa Kemajuan dan Keselanatan Kampung (JKKK) itu, dijadual dirasmikan Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri Datuk Ewon Benedick.
“Kami berharap penduduk kampung sekitar Penampang, khususnya enam kampung terbabit dapat datang beramai-ramai bagi memeriahkan Lamai Kaamatan tersebut,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial bagi mempromosi acara Kaamatan tersebut.
Susanna berkata pertandingan Unduk Ngadau peringkat akar umbi itu, antara lain, bertujuan mempromosikan serta memelihara warisan budaya, terutama dalam aspek kecantikan, kelembutan, dan kebijaksanaan wanita.
Selain itu, Susanna berkata program itu diharap dapat menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat kampung.
Katanya turut diadakan sempena Lamai Kaamatan itu ialah sukan tradisi dan sugandoi.
Sementara itu, Susanna berharap lebih ramai individu dan agensi swasta yang tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan termasuk hamper untuk acara cabutan bertuah.
Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Susanna (019-581 7336) untuk keterangan lanjut.
