SANDAKAN : Ahli Jawatankuasa Persatuan Media Sandakan, Sabah (PEMASSA) mengadakan kunjungan hormat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa di pejabat beliau di Batu 9, Sandakan.
Kunjungan yang diketuai Pengerusi PEMASSA, James Leong, antara lain memperkenalkan PEMASSA yang disertai media cetak, elektronik dan portal berdaftar sekitar Sandakan.
Ia juga sebuah persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang telah di tubuhkan sejak 2013.
James berkata, kunjungan itu juga bertujuan membina kerjasama strategik, silaturahim, bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa, liputan berita dan program pembangunan masyarakat di kawasan DUN itu dan Sandakan serta daerah berdekatan.
Hazem menyambut baik kunjungan itu dan berharap media Sandakan terus mengamalkan etika terbaik dalam menyampaikan berita yang benar selain berhadapan cabaran isu semasa, berita pantas dan tular di media sosial pada masa kini.
Beliau juga menghargai peranan media dalam mendapatkan berita sahih dan bertugas tanpa mengira masa selain menyampaikan dasar yang dilaksanakan kerajaan untuk masyarakat setempat.
