By Darell Leiking, Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah
KOTA KINABALU: Saya merujuk kepada jawapan lisan YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di Parlimen pada 30 Jun 2026 berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Saya menghargai kesediaan YAB Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan mengenai isu yang telah sekian lama menjadi tuntutan rakyat Sabah. Namun demikian, jawapan tersebut telah menimbulkan tanggapan bahawa pentadbiran Parti Warisan pada tahun 2019 telah bersetuju menerima kadar Pemberian Khas yang lebih rendah sebagai penyelesaian muktamad terhadap hak perlembagaan Sabah.
Tanggapan tersebut adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.
Warisan tidak pernah menyerahkan, menggadaikan atau berkompromi terhadap hak perlembagaan Sabah.
Cadangan untuk meningkatkan Pemberian Khas daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta pada Oktober 2019 bukanlah suatu penyelesaian muktamad. Ia dipersetujui semata-mata sebagai bayaran interim (sementara) yang diterima secara “without prejudice”, tanpa menjejaskan hak Sabah untuk terus menuntut formula sebenar sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C, Perkara 112D dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Tujuan pendekatan tersebut adalah jelas.
Selepas lebih empat dekad tanpa semakan yang bermakna, Kerajaan Negeri ketika itu mengambil pendekatan pragmatik supaya Sabah menerima tambahan dana dengan segera sementara rundingan mengenai formula sebenar diteruskan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Penerimaan bayaran interim tersebut sama sekali tidak boleh ditafsirkan sebagai pengguguran atau penyerahan hak perlembagaan Sabah.
Lebih penting lagi, rundingan tersebut berlangsung dengan pengetahuan dan penglibatan penuh Kerajaan Persekutuan ketika itu yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, bersama Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri dan YB Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan.
Semua pihak yang terlibat memahami bahawa cadangan RM53.4 juta hanyalah satu bayaran interim yang dibuat secara without prejudice, sementara rundingan bagi memuktamadkan formula sebenar diteruskan.
Atas sebab itulah tiada Perintah Perlembagaan mahupun Warta Persekutuan dikeluarkan pada tahun 2019 kerana rundingan tersebut masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Sekiranya masih terdapat sebarang keraguan mengenai kedudukan sebenar rundingan tersebut, saya dengan hormat mencadangkan agar YAB Perdana Menteri mendapatkan penjelasan daripada mereka yang menganggotai Kabinet Persekutuan ketika itu. Mereka terlibat secara langsung dalam proses tersebut dan berada dalam kedudukan terbaik untuk menjelaskan konteks sebenar rundingan yang berlangsung.
Keadaan tersebut berubah sama sekali pada tahun 2022.
Warisan membantah Perintah Perlembagaan Persekutuan (Review of Special Grant Under Article 112D) (State of Sabah) Order 2022 [P.U. (A) 119] kerana pendekatan tersebut telah menyimpang daripada persefahaman yang dicapai pada tahun 2019.
Pertama, Kerajaan Persekutuan ketika itu telah menyatakan bahawa formula asal yang menjadi asas hak Sabah tidak lagi terpakai.
Kedua, tidak seperti pendekatan tahun 2019, Perintah Tahun 2022 tidak lagi memasukkan klausa “interim” atau “without prejudice”.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan yang serius dari sudut perundangan kerana ia boleh ditafsirkan sebagai menggantikan hak perlembagaan Sabah dengan suatu jumlah pukal, dan bukannya berdasarkan formula yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Isu ini tidak seharusnya dipolitikkan.
Ia melibatkan hak perlembagaan Sabah dan integriti Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, saya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menyahklasifikasikan (declassify) dengan segera:
* Laporan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai MA63;
* Minit Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet MA63;
* Kertas-kertas Kabinet yang berkaitan; dan
* Dokumen teknikal rundingan bagi tempoh 2018 hingga 2020.
Rekod rasmi tersebut akan membuktikan bahawa:
* Cadangan RM53.4 juta hanyalah satu bayaran interim;
* Rundingan mengenai formula sebenar masih berjalan;
* Warisan tidak pernah berganjak daripada mempertahankan hak perlembagaan Sabah; dan
* Tidak pernah wujud sebarang persetujuan untuk menjadikan RM53.4 juta sebagai penyelesaian muktamad terhadap hak Sabah.
Ketelusan adalah demi kepentingan semua pihak, khususnya rakyat Sabah.
Akhirnya, perbahasan ini bukan mengenai RM26.7 juta atau RM53.4 juta.
Perbahasan ini adalah mengenai sama ada Perlembagaan Persekutuan akan dihormati dan dilaksanakan sebagaimana yang diperuntukkan.
Hak Sabah bukan ihsan mana-mana Kerajaan Persekutuan. Hak Sabah adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan wajib dilaksanakan dengan penuh amanah serta berlandaskan kedaulatan undang-undang.
