KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan digesa untuk memberikan pengecualian khas atau menyediakan kuota tambahan subsidi diesel yang lebih fleksibel bersesuaian dengan realiti kehidupan di Sabah.
Ketika membuat syor itu, Ketua Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bahagian Kudat Gundohing Richard Mazagi berkata ini kerana Sabah amat luas dari segi geografi dan banyak kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih bergantung kepada pengangkutan jalan raya.
Selain itu, katanya keadaan jalan raya di Sabah yang mencabar memerlukan lebih banyak penggunaan bahan api berbanding kawasan bandar di Semenanjung.
“Maka sebaiknya, dasar berkaitan diesel disesuaikan dengan realiti hidup di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Richard berkata kerajaan juga perlu melihat keperluan daripada segi ekonomi.
“Seperti yang kita sedia maklum, ramai petani, pekebun, dan usahawan kecil di Sabah yang bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda berkuasa diesel untuk mengangkut hasil dan barang.
“Jadi had 200 liter yang cepat habis memaksa pengguna membeli diesel pada harga pasaran tanpa subsidi, sekaligus meningkatkan kos sara hidup,” katanya.
Oleh itu, Richard menzahirkan harapan agar kerajaan dapat mencari mekanisma terbaik untuk ‘menolong’ rakyat di Sabah.
