KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyokong penuh Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang memperkukuhkan sistem perundangan dalam menangani pelbagai isu dan ancaman siber.
Katanya, rang undang-undang itu penting berikutan peningkatan jenayah siber yang semakin membimbangkan.
Beliau menegaskan bahawa rang undang-undang itu lahir bukan disebabkan negara mahu memperluaskan kuasa, sebaliknya kerana jenayah telah berkembang lebih pantas daripada undang-undang.
“Teknologi bergerak setiap saat. Penjenayah berubah setiap hari. Maka undang-undang juga wajib bergerak seiringan, agar keadilan tidak terus tertinggal di belakang kejahatan,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Jenayah Siber di Dewan Rakyat petang ini.
Matbali berkata Akta Jenayah Komputer 1997 telah berjasa kepada negara dan ia sangat dihargai kerana banyak membantu.
Katanya, setelah hampir tiga dekad berlalu, kecerdasan buatan kini berkembang di mana transaksi digital menjadi kebiasaan dan amalan, justeru undang-undang juga mesti berevolusi.
Beliau melihat rang undang-undang itu sebagai sebuah jambatan antara keselamatan dan kemajuan.
“Tanpa keselamatan, kemajuan akan runtuh. Tanpa keyakinan, ekonomi digital akan lumpuh. Tanpa perlindungan, teknologi akan bertukar daripada rahmat menjadi musibah.
“Kerana itulah negara memerlukan suatu kerangka undang-undang yang menyeluruh bagi menangani penipuan digital, kecurian identiti, manipulasi kandungan dan pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin canggih,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, dalam mengharungi derasnya arus pendigitalan, negara memerlukan sebuah benteng undang-undang yang bukan sahaja kukuh menahan gelombang ancaman, tetapi juga bijaksana memelihara hak rakyat.
“Jika dahulu nenek moyang kita mempertahankan tanah air dengan darah dan keberanian, maka pada hari ini menjadi tanggungjawab kita mempertahankan ruang siber dengan kebijaksanaan undang-undang dan ketegasan kerajaan,” tegasnya.
Menurutnya, dunia kini telah berubah di mana musuh tidak lagi semestinya datang dengan senjata, sebaliknya mereka datang dengan papan kekunci.
“Mereka tidak lagi merempuh pintu rumah. Mereka menceroboh melalui telefon bimbit,” katanya.
Matbali berkata rang undang-undang itu melindungi akses sistem komputer, data dan komunikasi.
“Ini penting kerana penjenayah siber tidak menunggu matahari terbit. Mereka tidak menunggu pejabat dibuka. Mereka tidak menunggu fail dipindahkan dari satu meja ke satu meja.
“Mereka bergerak sepantas cahaya. Bukti boleh dipadam dalam beberapa saat. Wang boleh dipindahkan dalam beberapa minit. Identiti boleh diubah dalam satu klik,” katanya.
Matbali turut menceritakan bagaimana jenayah siber menjejaskan orang ramai, termasuk di kawasan pedalaman dengan pelbagai taktik penipuan.
“Saya melihat bagaimana ada yang kehilangan simpanan seumur hidup kerana menjadi mangsa penipuan digital atau disebut scammer.
“Saya melihat warga emas menangis kerana wang persaraan lesap dalam beberapa minit angkara scammer ini. Mereka inilah yang wajib kita lindungi,” katanya.
