PG Kampus Kent Anjur Bengkel Penerbitan dan Percetakan Buku Pintar 

TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun Institut Pendidikan Guru Kampus Kent telah berjaya menganjurkan Bengkel Penerbitan dan Percetakan Buku Pintar/Jurnal Ilmiah Sunduan Nabalu Jilid 2 di IPG Kampus Kent Lama, Tuaran selama dua hari bermula 25 Jun.

Program tersebut disertai pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun ambilan Ogos 2025 – 2029 bersama pensyarah JBKD bagi memperkukuh kemahiran dalam bidang penerbitan dan penyelidikan.  

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Pengarah IPG Kampus Kent, Dr. Norafidah binti Noralidin.

Beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha Jabatan Bahasa Kadazandusun dalam membudayakan penyelidikan dan penerbitan ilmiah. 

Beliau turut menekankan kepentingan menghasilkan bahan rujukan berkualiti sebagai usaha memperkasa bahasa ibunda di samping melahirkan bakal guru yang kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam bidang pendidikan.

Program anjuran Jabatan Bahasa Kadazandusun itu, antara lain, bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta mengenai proses penerbitan jurnal ilmiah dan buku pintar.

Selain itu, ia bermatlamat untuk membimbing mereka menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti. 

Bengkel itu turut menyokong usaha IPG Kampus Kent sebagai kampus Tier 1 dalam memperkasakan Bahasa Kadazandusun melalui pembudayaan penyelidikan dan inovasi.  

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai sesi ceramah dan bengkel yang dikendalikan oleh penceramah berpengalaman.

Mereka ialah Tindarama Rita Lasimbang Ketua Pegawai  Eksekutif Kadazandusun Language Foundation (KLF) yang turut dibantu oleh Emilda Evon , Rosecilla Bisius dan Julyza Kasimin . 

Turut membantu menjayakan program tersebut ialah penceramah mr, Pn Hasni Yusop Penolong Pengarah Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM ( Penyelaras Buku Teks Bahasa Kadazandusun ) dan En Joemin Maratin Pengarah Pendidikan MultiBahasa (MLE),SIL. Malaysia yang dibantu oleh Miss Kimberly Rodjer. 

Perjalanan program itu juga di bawah bimbingan Tn John Gitom Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, Penyelaras Program Dr Rosie Johnny, Dr Wilfred Dousip, dan Pn Rosmahwati Ebbie selaku pensyarah IPG Kampus Kent. 

Antara pengisian utama ialah penerbitan jurnal ilmiah, penghasilan buku pintar, penghasilan buku cerita menggunakan platform BLOOM serta animasi digital. 

Peserta turut diberi peluang menghasilkan bahan penerbitan secara praktikal melalui sesi bengkel yang disediakan.  

Penganjuran bengkel tersebut diharapkan dapat melahirkan bakal guru yang lebih kompeten dalam menghasilkan bahan rujukan ilmiah berkualiti serta menyumbang kepada usaha mendokumentasikan bahasa dan budaya Kadazandusun. 

Melalui penerbitan Jurnal Ilmiah Sunduan Nabalu Jilid 2, Jabatan Bahasa Kadazandusun berharap lebih banyak hasil penyelidikan dapat diterbitkan bagi memperkukuh perkembangan ilmu dan pemartabatan Bahasa Kadazandusun pada masa hadapan. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles