KEDAH: Kontinjen badminton Sabah sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila mencatat pencapaian membanggakan pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Kedah dari 5 hingga 12 Jun 2026.
Kontinjen Sabah yang diketuai Penyelaras Sukan Badminton Sabah, Encik Fauzee bin Pelih, telah menghantar seramai 29 orang atlet untuk mewakili negeri dalam kejohanan berprestij tersebut.
Sebagai persiapan menghadapi saingan peringkat kebangsaan, semua pemain telah mengikuti latihan pusat di Kota Kinabalu pada 2 hingga 4 Jun, yang memberi fokus kepada aspek teknikal, taktikal dan pembinaan semangat berpasukan.
Hasil daripada persiapan rapi dan komitmen tinggi para pemain, kontinjen Sabah berjaya membawa pulang satu pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa.
Pingat emas diraih menerusi acara perseorangan perempuan bawah 12 tahun, manakala pingat perak diperoleh dalam acara beregu perempuan bawah 12 tahun.
Dua pingat gangsa pula disumbangkan melalui acara beregu perempuan bawah 12 tahun dan beregu perempuan bawah 18 tahun.
Lebih membanggakan, pencapaian cemerlang ini membolehkan Sabah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Perempuan Bawah 12 Tahun, sekali gus membuktikan bahawa bakat dan potensi atlet muda negeri ini mampu bersaing serta menyerlah di peringkat kebangsaan.
Menurut Encik Fauzee bin Pelih, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha berterusan para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang sentiasa komited dalam memastikan Sabah kekal kompetitif di pentas sukan sekolah kebangsaan.
Beliau turut menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti bahawa program pembangunan badminton negeri berada pada landasan yang tepat.
Kontinjen Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tuan Muddin Beting, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, En. Bunsu Gaga, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Bakat dan Datu Asrah Datu Ambas, Ketua Penolong Pengarah Unit Bakat atas sokongan, kepercayaan dan komitmen berterusan dalam memperkasakan pembangunan sukan sekolah di negeri ini.
Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan sokongan moral, dorongan dan pengorbanan dalam memastikan anak-anak dapat menyertai latihan serta pertandingan dengan penuh dedikasi.
Penghargaan juga diberikan kepada semua jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal, sekolah-sekolah, penaja serta individu yang telah membantu dan menyokong kontinjen Sabah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang persiapan dan pelaksanaan kejohanan.
Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan yang lebih besar pada masa hadapan serta menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang sukan.
Dengan semangat juang yang tinggi, disiplin yang mantap dan sokongan padu daripada semua pihak, kontinjen badminton Sabah diyakini mampu terus mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat yang lebih tinggi.
