Oleh Aktivis Masyarakat Jaesman Gipin
KOTA KINABALU: Kita mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan yang berjaya merampas 14 kontena ayam sejuk beku di Pelabuhan Sepanggar baru-baru ini. Namun, perlu dinyatakan bahawa operasi tersebut dijalankan oleh AKPS, sedangkan Kerajaan Negeri Sabah telah mengumumkan penangguhan dasar dan perlaksanaan AKPS di negeri ini melalui kenyataan media Ketua Menteri pada 15 Mei 2026.
Keputusan penangguhan itu dibuat selepas pertimbangan teliti bersama agensi penguatkuasa sedia ada di Sabah. Justeru, tindakan AKPS menjalankan operasi secara unilateral menimbulkan persoalan mengenai koordinasi dan penghormatan terhadap keputusan kerajaan negeri.
Sabah mempunyai agensi yang berkompeten untuk menangani isu penyeludupan dan keselamatan sempadan. Bagi menjaga keharmonian pentadbiran dan semangat Perkongsian Kuasa dalam Malaysia, adalah wajar AKPS merujuk dan menghormati pendirian Kerajaan Sabah terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang operasi.
Kami menyeru semua pihak agar menyelesaikan perkara ini melalui rundingan, bagi memastikan kepentingan keselamatan negara tidak bercanggah dengan autonomi Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
