LAGENDA: Francis tampil dengan persembahan bertenaga di The Club sebagai pengisian sempena Pesta Kaamatan
KOTA KINABALU: Artis lagenda Sabah, Datuk Francis Landong terus mengegarkan persada muzik tanah air sempena sambutan Pesta Kaamatan yang sedang berlangsung di seluruh negeri sejak 1 Mei lepas.
Tokoh muzik Sabah yang paling lama bertahan dalam industri seni tempatan sejak era 1980-an dan kekal aktif membuat persembahan sehingga kini, terus mekar sebagai permata seni yang tidak pernah pudar ditelan zaman.
Francis bukan sekadar menghidupkan jiwa, tetapi menjadi suara hati rakyat Sabah yang telah berpuluh tahun menyulam irama budaya dalam denyut kehidupan.
Sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026 yang bertemakan `Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian’, kehadiran beliau dalam program “7 Minit Lagi” di The Club, Hilton Kota Kinabalu, menjadi detik yang paling dinanti para peminat muzik tempatan.
Sejak awal muzik bergema, pengunjung bagaikan hanyut dalam nostalgia, seolah-olah dibawa pulang ke kampung halaman menyambut Kaamatan.
Lagu-lagunya `Koupusan’, `Aramai Tih’, `Nung Noilaan Ku Daa’, `Pikir-Pikir Dulu’ dan medley `7 Minit Lagi’ nyata mengegarkan The Club dengan suaranya yang lunak dan bergetar penuh emosi tapi santai dan berakar tradisi.
Sambil berkomunikasi dengan pengujung yang hadir, Francis berjaya menghidupkan suasana sehingga ke penghujung acara.
Bait nyanyiannya ibarat desiran angin dari kampung halamannya Tambunan yang membawa aroma padi yang sedang menguning menjelang musim Pesta Kaamatan.
Bersama Francis di The Club malam itu ialah MJ & The Vibez dan DJ Syful.
Dikenali sebagai ikon muzik tempatan Sabah, populariti beliau memang tidak dinafikan lagi.
Sehari sebelum ke The Club, beliau berada di daerah Tongod `The Heart of Sabah’ atau `Jantung Sabah’ kerana kedudukannya yang berada di tengah-tengah geografi negeri Sabah sempena sambutan Pesta Kaamatan daerah itu yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor.
Keesokan harinya, Francis ke daerah pedalaman Sook untuk menghibur sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan 2026.
Sehari kemudian, beliau ke Tambunan untuk memenuhi undangan sempena sambutan Pesta Kaamatan di daerah itu.
Menurut Francis, jadualnya sepanjang Mei ini jauh lebih padat daripada bulan lain.
“Saya sangat menghargai undangan daripada Hilton pada malam hari ini,” katanya, sambil dimeriahkan reaksi spontan pengunjung yang tampil bersama-sama `Sumazau’.
Kerana irama lagu-lagunya mempunyai kekuatan luar biasa dan menjadi siulan ramai, justeru persembahan Francis malam itu terus hidup kerana penonton tanpa segan silu turut bernyanyi.
Kehadirannya dalam program `7 Minit Lagi’ itu dianggap simbol penghormatan kepada artis-artis tempatan yang terus mengangkat martabat muzik Sabah.
Lebih istimewa, persembahan itu berlangsung ketika semangat Kaamatan sedang membara di seluruh negeri, dengan acara kemuncaknya di Hongkod Koisaan, Penampang, pada 30-31 Mei ini.
Di kelab kecil hotel itu, Francis berjaya menghadirkan suasana yang jauh lebih besar daripada sebuah persembahan biasa.
Ia menjadi pertemuan antara seni, budaya dan kenangan yang menyatu dalam satu malam yang penuh nostalgia.
Ramai pengunjung dilihat merakam persembahan beliau dengan telefon bimbit, namun hakikatnya detik sebenar tersimpan lebih kemas di dalam hati masing-masing.
Semuanya tersenyum gembira, ramai yang berswafoto untuk mengabadikan kenangan terindah itu.
Ini kerana dalam setiap lagu Francis itu, terselit bahasa jiwa rakyat Sabah yang sederhana namun penuh makna.
Dianugerahkan pingat kebesaran negeri, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada 2023, Francis telah mengangkat muzik Sabah menjadi khazanah yang bernilai tinggi dan menjadi kebanggaan Negeri Di Bawah Bayu.
