KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan bahawa setiap amanah yang dipikul oleh penjawat awam dan agensi kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar memegang jawatan.
Beliau berkata, tanggungjawab tersebut menuntut semua pihak memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya golongan pekebun kecil dan komuniti luar bandar.
“Jangan kita berbangga dengan jawatan, tetapi di peringkat bawahan kita gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Amanah kita bukan sekadar menjawat jawatan, tetapi memastikan rakyat dilayani dengan sebaik mungkin,” katanya dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah baharu LIGS, di Ibu Pejabat LIGS di Wisma Pertanian, kelmarin.
Menurutnya, beliau sentiasa memberi perhatian kepada aduan rakyat termasuk melalui media sosial, dan akan segera menyalurkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan untuk tindakan lanjut.
“Saya layan semua aduan, termasuk di Facebook. Kalau ada yang mengadu jalan pertanian rosak atau tanah tidak diusahakan, saya akan ambil tangkap layar dan hantar kepada pengurusan. Keesokannya, tindakan terus diambil.
“Itu yang saya mahu – kita bekerja untuk rakyat,” katanya.
Jamawi turut berkongsi pengalaman peribadi beliau yang pernah berkhidmat dalam bidang penyelidikan pertanian, serta menghargai tunjuk ajar pegawai-pegawai kanan yang membentuk perjalanan kerjayanya sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga LIGS baharu atas pelantikan masing-masing, sambil berharap mereka dapat memperkukuh peranan organisasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, pelantikan baharu tersebut perlu dilihat sebagai satu amanah besar yang memerlukan komitmen tinggi serta keikhlasan dalam membantu masyarakat.
“Kita perlu pastikan setiap usaha yang dilaksanakan mampu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, walaupun kecil, ia tetap bermakna,” katanya.
Mengulas lanjut, Jamawi berkata, kebanyakan rakyat di luar bandar tidak mengharapkan sesuatu yang besar, sebaliknya hanya memerlukan kemudahan asas yang baik untuk menjalani kehidupan seharian.
“Mereka hanya mahu jalan yang baik, kemudahan asas yang sempurna. Bila kita bantu, mereka sangat menghargainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.
“Ini adalah amanah besar yang perlu kita pikul bersama. Laksanakanlah sebaik mungkin agar kita mendapat keberkatan dan dipermudahkan dalam setiap urusan,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri II, Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengerusi LIGS baharu, Datuk Seri Jahid Jahim; Pengurus Besar LIGS, Ts Sabdil Tanjong; Timbalan Pengerusi, Aliamis Sami serta barisan ahli lembaga pengarah LIGS.
