Kenyataan Media Datuk Dr Ronald Kiandee Pengerusi Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Pembangkang.
KOTA KINABALU: Kenaikan mendadak harga diesel sehingga RM5.52 seliter, ditambah pengurangan kuota subsidi RON95 kepada 200 liter sebulan, dalam tempoh berselang 24 jam, membuktikan kepimpinan negara kini hilang arah dalam menguruskan krisis tenaga.
Meskipun konflik di rantau Teluk telah berlarutan hampir sebulan, kerajaan masih gagal mengemukakan Pelan Kontijensi Nasional yang menyeluruh. Sebaliknya, tindakan kerajaan dilihat reaktif – termasuk membenarkan kenaikan harga minyak secara mendadak sehingga ke paras tertinggi dalam sejarah negara.
Akibatnya, rakyat menjadi mangsa. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) makanan kini bergelut untuk bertahan. Pengusaha bas ekspres berdepan risiko gulung tikar, manakala pemilik restoran melaporkan kos operasi meningkat hingga 30 peratus.
Pesawah menjadi kumpulan rakyat paling terkesan. Kos membajak dan menuai melambung berkali ganda disebabkan kenaikan diesel. Lebih membebankan, mereka terpaksa menggunakan diesel tambahan untuk mengepam air akibat kemarau dan bertambah malang, apabila pesawah tidak lagi menerima Insentif Tunai RM600 sejak dua musim lalu.
Keadaan ini menyebabkan beberapa kawasan yang sepatutnya sudah pun memulakan tanaman padi musim baru bermula awal Mac ini, masih tidak dimulakan dan perkembangan ini dibimbangi mengheret pula negara kepada masalah keselamatan bekalan makanan seperti dibangkitkan Ketua Pembangkang.
Namun, Perdana Menteri masih mendakwa 90 peratus rakyat tidak terjejas – satu kenyataan yang terpisah daripada realiti kehidupan rakyat di bawah sana.
Hakikatnya, amaran pengeluar makanan bahawa mereka “tidak dapat bertahan lama” dan ketidaktentuan nasib pesawah menunjukkan krisis tenaga kini sedang berkembang dan boleh bertukar menjadi krisis bekalan makanan pula, terutamanya apabila kesan kenaikan diesel menjalar ke seluruh rantaian bekalan dan akhirnya ditanggung rakyat melalui harga tinggi.
Sehubungan itu, cadangan daripada blok pembangkang agar ditubuhkan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara, dibentangkan Pelan Kontijensi Nasional serta diadakan Sidang Khas Parlimen wajar diterima dengan sebaiknya oleh kerajaan agar kita dapat bersama-sama mencari jalan terbaik demi rakyat dan negara.
