KOTA KINABALU: Kerja-kerja membaik pulih bangunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Sembulan, kini memasuki fasa kedua di mana sebutharga mengenainya akan dibuka tidak lama lagi.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Hj Ahmad, berkata pelaksanaan fasa pertama sudah pun siap mengikut jadual.
“Sekarang masuk fasa kedua, iaitu bagi kerja-kerja menjadikannya sebagai pusat pentadbiran USIA selain pembangunan landskap di persekitaran bangunan,” katanya.
Ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program Ramadan Jazz anjuran USIA di sini semalam, beliau berkata secara keseluruhan kerja-kerja pelaksaan projek baik pulih itu berjalan lancar dan mengikut jadual.
Bangunan USIA itu letaknya di lokasi strategik Bulatan Sembulan, dibina sejak 1972.
Bagaimanapun, kebakaran pada sebahagian tingkatnya menyebabkan ia terpaksa dikosongkan dan operasi pentadbiran USIA berpindah ke bangunannya di 1Borneo sehingga kini.
Majlis Pelancaran Projek Membaikpulih Bangunan USIA itu dilancarkan oleh Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif selaku Exco Agama pada 28 September 2024.
Kerja baik pulih fas pertama menelan kos lebih RM3 juta.
Dalam pada itu, Sapawi berkata kerja pembangunan Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary kendalian USIA di Kampung Marasinsim, Kota Marudu, sudah siap sepenuhnya.
Katanya, ketika ini pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi bagi pengiktirafan rasmi.
Bagaimanapun, katanya, ketika ini proses pembelajaran secara atas talian sedang berjalan, termasuk bagi mendapatkan pelajar dari seluruh negeri.
Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, pusat berkenaan bakal menjadi mercu tanda baharu kejayaan USIA dalam bidang Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET).
