Kes penemuan mayat di Indah Permai – Kejayaan polis tangkap suspek kurang 24 jam dipuji

TAWAU: Kecekapan pihak polis bertindak pantas membuahkan hasil apabila suspek utama yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya ditemui di Indah Permai, Sepanggar semalam berjaya diberkas dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan. 

Tindakan pantas itu wajar dipuji kerana membuktikan komitmen dan kesungguhan pasukan keselamatan dalam memastikan penjenayah tidak terlepas serta keselamatan awam terus terpelihara.

Mengulas insiden itu, Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih. 

Malah, kejadian berkenaan perlu dijadikan peringatan serius mengenai kepentingan pencegahan jenayah kerana menurut Zaki, jenayah boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi, latar belakang atau waktu.

“Ramai beranggapan kawasan perumahan adalah zon selamat namun hakikatnya pelaku dan mangsa boleh berada di sekeliling kita. Ada yang saling mengenali dan ada juga yang tidak pernah berjumpa sebelum ini,” katanya.

Zaki berkata, aspek pencegahan jenayah perlu bermula dengan kesedaran individu termasuk mengelakkan berjalan bersendirian di kawasan sunyi dan gelap terutama pada awal pagi atau lewat malam.

“Wanita khususnya perlu lebih berhati-hati, sentiasa peka dengan persekitaran, memaklumkan ahli keluarga lokasi keberadaan dan tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali,” katanya.

Dalam masa sama, beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas menahan suspek sambil berharap kes berkenaan dapat diselesaikan segera dan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, pencegahan jenayah bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan aktif seluruh masyarakat bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles