SANDAKAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N55 Elopura, Calvin Chong hari ini turun padang membuat lawatan ke kawasan belakang kedai komersial di Taman Grandview susulan aduan penduduk berhubung kejadian paip air bawah tanah yang pecah dan telah berlarutan sejak beberapa ketika.
Menurut Calvin Chong, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penduduk setempat yang peka serta bertindak pantas menyalurkan maklumat kepada pihak beliau. Aduan yang diterima telah membolehkan tindakan segera diambil bagi mengelakkan masalah tersebut menjadi lebih serius.
“Sebaik sahaja menerima makluman daripada penduduk, saya bersama pasukan terus turun ke tapak bagi menjalankan pemeriksaan awal. Hasil tinjauan mendapati kebocoran paip air bawah tanah ini bukan sahaja menyebabkan pembaziran air, malah berpotensi menjejaskan struktur tanah, keselamatan pengguna serta kebersihan persekitaran di kawasan belakang premis komersial berkenaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan rasmi telah dibuat kepada Jabatan Air serta kontraktor berkaitan, dan pihaknya telah menggesa agar kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan segera, menyeluruh dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Tambah beliau, isu kemudahan asas seperti bekalan air merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan harian penduduk dan peniaga di kawasan tersebut.
“Sebarang kelewatan dalam menangani masalah seperti ini bukan sahaja menyusahkan penduduk, malah boleh membawa risiko kerosakan yang lebih besar serta kos pembaikan yang lebih tinggi pada masa akan datang,” jelasnya.
YB Calvin Chong menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan kerja-kerja pembaikan tersebut sehingga ia diselesaikan sepenuhnya, selain memastikan pihak berkaitan menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.
Beliau juga mengalu-alukan orang ramai untuk terus menyalurkan aduan serta maklumat berkaitan masalah infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan Elopura agar tindakan segera dapat diambil demi kesejahteraan dan keselamatan bersama.
