Warisan sasar lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU akan datang – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan menyasarkan untuk memenangi lebih banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, Warisan yakin mampu mencatat keputusan yang lebih baik dengan mengambil iktibar daripada kesilapan lalu serta memperkemaskan strategi dan gerak kerja parti di semua peringkat.

“Kita belajar daripada pengalaman dan kesilapan sebelum ini. PRU akan datang menuntut kesiapsiagaan yang lebih tersusun dan pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan Kali Ke-Lapan di sini hari ini.

Shafie berkata, Warisan akan terus memberi penekanan kepada perjuangan membela suara rakyat, khususnya dalam menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan seimbang serta keperluan asas rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhan.

Beliau menegaskan bahawa matlamat utama parti itu adalah memastikan suara rakyat didengar dan diangkat dalam setiap dasar serta keputusan yang dibuat.

“Warisan adalah parti yang mementingkan suara rakyat. Inilah asas dan matlamat perjuangan kami sejak ditubuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie turut menegaskan identiti Warisan sebagai sebuah parti berbilang kaum yang membawa pendekatan inklusif, tanpa mengira latar belakang etnik atau agama.

“Warisan merupakan parti pelbagai kaum. Kita percaya perpaduan dan keadilan sosial adalah kunci kepada kestabilan dan kemajuan negara,” katanya lagi.

Mengulas pendirian politik parti itu, Shafie berkata Warisan bersikap terbuka untuk bekerjasama atau bergabung di peringkat Persekutuan demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Warisan memilih untuk kekal sebagai pembangkang di peringkat negeri Sabah bagi memastikan semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan berkesan terhadap kerajaan negeri sedia ada.

“Kita boleh bekerjasama di peringkat Persekutuan, tetapi di Sabah, Warisan mengambil peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab demi memastikan suara rakyat terus dibela,” katanya.

Tambah beliau, parti itu akan terus memperkukuh sokongan akar umbi serta memperluas jalinan kerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat menjelang PRU akan datang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles