RANAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menggesa penyokong gabungan itu memperkukuh kesatuan susulan persaingan 10 penjuru yang mencatat sejarah di DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Dr. Joachim yang juga penyandang dan mantan Timbalan Ketua Menteri berkata, situasi itu bukan sahaja berlaku di Kundasang tetapi turut melibatkan DUN Paginatan yang mencatat 10 penjuru serta DUN Karanaan dengan tujuh penjuru.
“Ini menunjukkan bahawa kita perlu lebih memperkuat kesatuan dalam GRS walaupun terdiri daripada pelbagai parti. Kesatuan dalam kepelbagaian adalah kunci kekuatan kita.
Dalam GRS, kita belajar bekerjasama dan bukan menjadi hero dengan tindakan yang memecahbelahkan gabungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokong selepas diumumkan secara rasmi sebagai calon GRS di Pusat Penamaan Calon, Dewan Masyarakat Ranau, di sini kelmarin.
Dr Joachim yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), menekankan bahawa rakyat turut perlu bersatu untuk memastikan agenda pembangunan di kawasan masing-masing dapat diteruskan.
“Mesti ada kerjasama. Itulah mesej utama kita untuk memperkukuh GRS dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Turut hadir ialah calon GRS DUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Setiausaha Agung GRS, serta calon GRS DUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.
Dr. Joachim turut mengingatkan penyokong mengenai pencapaian GRS sepanjang lima tahun mentadbir Sabah, termasuk kejayaan mengemudi ekonomi negeri ketika pandemik Covid-19.
Beliau berkata, pendapatan negeri mencapai hampir RM7 bilion dan terus mencatatkan peningkatan, selain rizab kewangan Sabah berada pada tahap memberangsangkan.
“Hasilnya kini kita lebih maju dari segi ekonomi, pendapatan negeri bertambah dan rizab kewangan kita juga sangat kukuh,” katanya.
Dr. Joachim turut mendoakan agar perjalanan kempen GRS berjalan lancar dan selamat, serta berharap gabungan itu akan memperoleh kemenangan bagi mengekalkan kepimpinan di Ranau khususnya dan di Sabah amnya.
Dr. Joachim menang kerusi tersebut dengan majoriti undi sebanyak 1,422 dalam pertandingan lima penjuru pada PRN Sabah ke-16, manakala Masidi memperolehi majority undi sebanyak 4,814 dalam pertandingan empat penjuru dan Abidin menang dengan majority undi sebanyak 1,323 dalam pertandingan lapan penjuru.
