LDP Gembira Kerajaan Persekutuan iktiraf hak 40% Sabah, desak tiada rayuan mengenai penghakiman

13 nov 2025

Oleh: John T.

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutua mengiktiraf hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri ini.

Beliau berkata, ini adalah satu langkah besar ke hadapan dalam memulihkan pembahagian yang sah Sabah di bawah Perlembagaan.

Bagaimanapun, katanya LDP bimbang mendengar Kerajaan Persekutuan masih merancang untuk merayu sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi terutamanya bahagian yang mengatakan kerajaan telah gagal dalam tugas perlembagaannya pada masa lalu.

Kataya, walaupun hak 40 peratus itu tidak dicabar, rayuan sebegitu masih boleh menjejaskan jumlah yang boleh dituntut oleh Sabah untuk beberapa tahun yang tidak dibayar. Ia mungkin melambatkan atau mengurangkan apa yang sepatutnya diterima oleh Sabah.

Oleh itu, LDP menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak merayu bahagian penghakiman yang rosak, tetapi menunjukkan keikhlasan dengan memulakan proses semakan baharu seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah secara adil dan cepat.

“Kami faham bahawa jumlah keseluruhan yang terlibat mungkin besar dan mungkin tidak mudah untuk Kerajaan Persekutuan membayar sekaligus.

LDP percaya perkara ini boleh dibincangkan dan dirundingkan sama ada melalui pembayaran berperingkat atau kaedah pembayaran balik lain yang sesuai asalkan hak Sabah dihormati dan prosesnya dilakukan secara telus,” katanya.

David berkata, pada masa yang sama, sebarang rayuan Kerajaan Persekutuan akan memberi mesej yang salah kepada rakyat Sabah bahawa Putrajaya masih belum bersedia untuk memberi keadilan kepada Sabah. Apa yang rakyat Sabah mahukan ialah kerjasama, bukan konfrontasi.

Katanya, rakyat Sabah telah menunggu hampir 50 tahun untuk isu ini diselesaikan. Sudah tiba masanya untuk bergerak ke hadapan dengan kejujuran dan muhibah, bukan lagi penangguhan undang-undang.

“LDP berpendirian teguh bahawa ini bukan mengenai politik, ia adalah mengenai layanan adil dan menghormati hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles